Pemuda Umno Johor sambut baik konsep ‘Rumah Bangsa’ sebagai penyatu kepimpinan Melayu
Pemuda Umno Johor sambut baik konsep ‘Rumah Bangsa’ sebagai penyatu kepimpinan Melayu
Pergerakan Pemuda Umno Negeri Johor menyambut baik dan mengalu-alukan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 yang memperkenalkan idea serta konsep ‘Rumah Bangsa’ sebagai usaha terancang untuk mengembalikan asas muafakat Melayu yang dilihat semakin terhakis sejak kebelakangan ini.
‘Rumah Bangsa’ merupakan satu gagasan atau kerangka kerjasama politik baru yang diperkenalkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di PAU 2025, bagi menyatukan semula orang Melayu, tatkala menangani perpecahan politik serta mengisi kelompangan kepimpinan Melayu ketika ini.
Usul itu dikemukakan Datuk Ahmad Zahid ketika menggulung ucapannya pada hari terakhir PAU 2025 pada 17 Januari, dengan memperjelaskan usaha tersebut sebagai langkah penyatuan parti politik yang tidak akan menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan sedia ada atau sebarang perubahan struktur kerajaan.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, berkata konsep ‘Rumah Bangsa’ mencerminkan komitmen Umno untuk kembali mencari titik persamaan dalam kalangan parti-parti politik berteraskan identiti Melayu dan Islam, selain menzahirkan keikhlasan parti itu dalam menyeru semula penyatuan orang Melayu dan Islam demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Cadangan ‘Rumah Bangsa’ juga dilihat amat bertepatan dengan realiti landskap politik semasa, khususnya ketika politik Melayu sedang berdepan krisis serta kelompangan kepimpinan yang berpanjangan.
“Situasi ini berlaku sehingga menyebabkan kegagalan parti-parti politik Melayu menawarkan kepimpinan yang jelas, wawasan baru dan gagasan perpaduan yang diyakini rakyat.
“Kelompangan kepimpinan Melayu yang berlarutan ini perlu ditangani secara serius. ‘Rumah Bangsa’ boleh menjadi wadah untuk mengembalikan semangat muafakat Melayu yang sekian lama didambakan oleh rakyat di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 Januari.
Menurutnya, idea tersebut akan diperhalusi menerusi penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sekali gus menunjukkan kesungguhan parti untuk menjadikan gagasan berkenaan satu realiti yang boleh dilaksanakan, bukan sekadar wacana politik.
Pemuda Umno Johor menggesa agar Jawatankuasa Penyatuan ‘Rumah Bangsa’ yang ditubuhkan segera memuktamadkan terma rujukan, syarat serta mekanisme pelaksanaan yang jelas bagi memastikan konsep tersebut dapat dilaksanakan secara berkesan dan tidak tergantung sebagai retorik semata-mata.
“Pemuda Umno Johor turut mencadangkan agar jawatankuasa berkenaan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan, termasuk parti politik berteraskan Melayu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu, serta tokoh pemikir dan profesional Melayu, supaya ‘Rumah Bangsa’ benar-benar mencerminkan aspirasi dan keperluan sebenar masyarakat Melayu,” katanya.
Encik Noor Azleen menegaskan ‘Rumah Bangsa’ tidak seharusnya disempitkan kepada kepentingan politik kepartian atau dijadikan sekadar alat menghadapi pilihan raya, sebaliknya perlu berperanan sebagai wadah terbaik untuk terus memelihara hak orang Melayu dan kepentingan Bumiputera selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, menurutnya, konsep ‘Rumah Bangsa’ juga perlu bersifat sederhana, menyeluruh dan dihormati oleh semua kaum bagi memastikan ia tidak menimbulkan rasa gusar atau ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat majmuk, sekali gus menyumbang kepada kestabilan dan keharmonian negara secara keseluruhan.

