Cadangan ‘kolaborasi agung’ Umno cetus pelbagai reaksi
Muhyiddin tegaskan tiada mandat rundingan sulit dengan Umno; Abdul Hadi bayangkan kerjasama hanya atas paksi Islam; PKR tunggu undangan rasmi
Cadangan Umno untuk menyatukan semua parti politik Melayu/Islam di Malaysia menerusi satu gabungan dinamakan ‘kolaborasi agung’ mendapat pelbagai reaksi daripada pemimpin parti politik.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat terbuka terhadap seruan tersebut, namun menafikan bahawa sebarang perbincangan telah diadakan dengan Umno berhubung perkara itu.
Presiden Bersatu yang juga mantan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjelaskan Bersatu tidak pernah memberikan mandat secara rasmi kepada mana-mana pimpinan parti itu untuk berunding dengan Umno mengenai cadangan kolaborasi agung tersebut.
“Ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini mengenai perbincangan yang telah diadakan dengan pimpinan Bersatu untuk mengusahakan penyatuan Melayu telah menimbulkan persoalan mengenai pendirian Bersatu mengenainya.
“Saya ingin menegaskan sebarang perbincangan rentas parti yang melibatkan sebarang bentuk kerjasama antara Bersatu dan Umno hendaklah diadakan mengikut saluran rasmi parti dengan dihadiri oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.
“Perbincangan hendaklah diadakan secara telus dengan mengambil kira semua faktor termasuk pandangan rakan-rakan parti anggota Perikatan Nasional dan kedudukan Umno dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya ingin mengambil sikap terbuka dalam hal ini. Bersatu akan menimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Presiden Umno setelah mendapat input yang lebih jelas mengenainya,” kata Tan Sri Muhyiddin dalam satu kenyataan.
Sementara itu, ada dalam kalangan pimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) pula menyifatkan cadangan berkenaan kedengaran menarik tetapi kurang meyakinkan.
Namun Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilihat memberi bayangan parti itu bersedia menjadi sebahagian daripada kolaborasi agung yang dicadangkan, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
Dalam kenyataan panjang bertajuk ‘PAS Bersama Perpaduan Ikatan Tali Allah, Bukan Tali Ciptaan Manusia’, Tan Sri Abdul Hadi menegaskan konsep perpaduan hanya boleh diterima jika berteraskan ketetapan Islam, dan bukan sekadar gabungan politik berasaskan kepentingan kuasa, kaum atau strategi jangka pendek.
Beliau menolak konsep perpaduan, yang menurutnya, “membisu terhadap kezaliman dan dosa”, sambil mengkritik model perpaduan besar yang menghimpunkan pelbagai pihak tanpa sempadan prinsip yang jelas.
Kenyataan yang dirujuknya sebagai menjawab seruan perpaduan agung itu memberi bayangan PAS hanya bersedia mempertimbangkan kerjasama politik jika ia berada di bawah kerangka kepimpinan dan prinsip yang ditakrifkan oleh Islam seperti yang difahami parti itu, dan bukannya melalui rundingan politik konvensional antara parti setara.
“Kita mahukan perpaduan yang berpayungkan kerajaan, yang menunaikan kewajipan memimpin yang merupakan amanah besar daripada Allah, dan ditaati kerana menghormati keadilannya.
“Bukan pemimpin yang menjadikan kuasanya kerana harta dan takhta yang dimuliakan, dan mereka dihormati kerana takut akan kezalimannya,” kata Tan Sri Abdul Hadi, memberi bayangan sebarang kerjasama hanya boleh berlaku jika pihak lain bersedia menerima kerangka prinsip PAS.
Pada 17 Januari lalu, Datuk Ahmad Zahid menutup pentas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 dengan mengumumkan cadangan pembentukan satu kolaborasi agung yang menghimpunkan parti politik berteraskan Melayu dan Islam di Malaysia, di bawah satu kerangka kerjasama lebih luas.
Sementara itu, Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil, berkata PKR masih belum mengesahkan sama ada parti itu menerima sebarang jemputan rasmi berhubung perkara berkenaan.
Bagaimanapun beliau berkata Datuk Ahmad Zahid sudah memaklumkan mengenai cadangan pembentukan kolaborasi agung itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

