Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemuda Umno kecam gesaan agar Zahid berundur
Pemuda Umno kecam gesaan agar Zahid berundur
JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mengecam gesaan Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali, supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur sebagai Presiden Umno dan dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Naib Ketua Pemuda Umno, Encik Mohd Hairi Mad Shah berkata, urusan kepimpinan parti itu mesti ditentukan oleh ahlinya mengikut perlembagaan dan proses pemilihan Umno.
“Sejak bila seorang pemimpin DAP diberikan mandat untuk menentukan siapa yang layak memimpin Umno? Sejak bila pula pelantikan dan kedudukan pemimpin Umno perlu mendapat restu DAP?” katanya dalam kenyataan pada 20 September.
Encik Mohd Hairi turut membantah tindakan Sheikh Umar yang menurutnya mencadangkan beberapa pemimpin Umno sebagai pengganti Datuk Zahid.
Beliau menyifatkan cadangan itu sebagai campur tangan dalam urusan dalaman Umno dan menggesa pemimpin DAP berkenaan supaya menghormati sempadan antara parti yang bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kerjasama dalam kerajaan tidak memberikan lesen kepada DAP untuk mencampuri urusan dalaman rakan politiknya,” katanya.
Mengenai dakwaan Sheikh Umar bahawa ucapan Datuk Zahid telah memalukan Perdana Menteri Malaysia, Encik Mohd Hairi berkata Presiden Umno itu berucap kepada perwakilan parti mengenai kepentingan dan masa depan Umno.
Menurutnya, Datuk Zahid juga telah menyatakan bahawa Umno akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
“Umno menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai sebuah parti yang mempunyai maruah, pendirian dan suara. Kerajaan Perpaduan dibina atas semangat permuafakatan dan saling menghormati,” katanya.
Sementara itu, Encik Mohd Hairi juga menjelaskan bahawa sumbangan kepada tabung yang dilancarkan Umno bagi membantu Datuk Seri Najib Razak membayar denda RM50 juta ($15.6) adalah secara sukarela dan tidak memaksa mana-mana pihak.
Beliau berkata usahawan mahupun orang perseorangan bebas memilih sama ada mahu menyumbang sebagai tanda solidariti kepada bekas Perdana Menteri Malaysia itu.
“Presiden Umno telah membuka tabung ini dan ia tidak memaksa mana-mana pihak.
"Ia lebih kepada solidariti. RM50 juta ialah jumlah yang besar, jadi kalau ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan, saya rasa ia terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kritikan bahawa tabung berkenaan boleh dilihat sebagai cubaan Umno mempertahankan kesalahan rasuah.
Encik Mohd Hairi menolak tanggapan itu dan berkata sumbangan kepada Datuk Najib mencerminkan sokongan sebahagian rakyat terhadap dasar yang diperkenalkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Klinik 1Malaysia.
Beliau turut membandingkan kutipan tersebut dengan Tabung Harapan Malaysia yang pernah diwujudkan untuk menerima sumbangan orang ramai.
Pada 18 September, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri mengumumkan Datuk Najib diperkenankan pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukumannya secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan. Sekiranya mana-mana syarat dilanggar, pengampunan bersyarat itu akan terbatal dan Datuk Najib perlu meneruskan baki hukumannya di penjara.
