PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Razak, diperkenankan pengampunan bersyarat dengan menjalani baki hukumannya secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta ($15.5 juta) dan pematuhan terhadap semua syarat yang ditetapkan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 pada 18 September.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim, telah memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Encik Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 18 September.

Encik Najib juga dikehendaki mematuhi semua syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh pengampunan bersyarat berkenaan.

Menurut kenyataan itu, kegagalan Encik Najib mematuhi mana-mana syarat akan menyebabkan pengampunan bersyarat tersebut terbatal.

“Sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat berkenaan, pengampunan bersyarat ini terbatal dan beliau hendaklah serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” katanya.

Terdahulu, Berita Harian Malaysia melaporkan, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan bermesyuarat semula pada 18 September bagi membincangkan permohonan pengampunan Encik Najib seminggu selepas pertimbangannya ditangguhkan.

Permohonan pengampunan Encik Najib dikatakan menjadi satu-satunya perkara dalam agenda mesyuarat lembaga itu.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Cik Hannah Yeoh dilihat meninggalkan Istana Negara selepas dipercayai menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, pada 18 September.

Beliau dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara 9.43 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire selepas hampir dua jam memasuki premis itu pada 7.48 pagi.

Cik Hannah bagaimanapun terus berlalu tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada media yang menunggu di pekarangan pintu dua Istana Negara sejak 7 pagi.

Pada 11 September lalu, media melaporkan, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat untuk mempertimbangkan, antara lain permohonan Encik Najib bagi mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan kes seleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat akan datang.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), memaklumkan perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pada Julai 2020, Encik Najib yang disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, yang kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Namun, pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Encik Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, daripada 12 tahun ke enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.