Pemuda Umno Bahagian Mersing menegaskan pendirian untuk mempertahankan kerusi Parlimen Mersing dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau sebagai kerusi tradisi Umno Barisan Nasional (BN).
Ini susulan kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, yang menyatakan hasrat partinya bertanding di kawasan berkenaan.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Mersing, Encik Azhar Zainal Abidin, berkata Umno BN telah membuktikan rekod khidmat yang cemerlang di Mersing, bukan sahaja dalam pembangunan infrastruktur dan ekonomi, malah dalam membela kepentingan rakyat di kawasan parlimen dan DUN tersebut.
“Sokongan rakyat terhadap Umno BN masih kukuh meskipun kita tewas dalam PRU-15. Pemuda Umno Mersing akan berdiri teguh di belakang kepimpinan parti dalam mempertahankan kerusi ini.
“Ini kerana rakyat lebih mengenali siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka, dan siapa yang hanya hadir menabur janji ketika musim pilihan raya,” katanya dalam kenyataan pada 31 Ogos.
Beliau turut menyeru seluruh jentera parti, khususnya golongan muda di Mersing, supaya memperkukuh gerak kerja di lapangan dengan lebih agresif.
“Kita tidak boleh leka dengan percaturan politik pihak lawan. Sebaliknya, kita mesti terus mendekati rakyat, menyelesaikan masalah mereka, serta mengangkat agenda pembangunan belia dan masyarakat setempat,” katanya.
Menurutnya, Umno Mersing kekal komited memperjuangkan nasib rakyat dan yakin kekuatan akar umbi bersama semangat perjuangan yang diwarisi akan memastikan kerusi Parlimen Mersing dan DUN Endau dirampas kembali di bawah panji Umno BN.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Tebrau, Encik Fauzi Faizal, berkata rakyat Johor sudah tahu membezakan pemimpin mana yang telah berkhidmat kepada mereka dan mana yang mementingkan kerusi sahaja.
“Pada pendapat saya sekarang ini adalah masa terbaik untuk kita terus berkhidmat kepada rakyat dan bukan kemaruk bercerita berapa kerusi yang nak direbut,” katanya.
Terdahulu, Datuk Dr. Zaliha dilaporkan berkata PKR Johor berhasrat menawan tiga kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN pada pilihan raya akan datang, yang berada di Muar, Pagoh dan Mersing.
“Kita melihat kerusi Parlimen Muar berpotensi untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan kita fokus menawan kerusi ini.
“Muar pernah menjadi kerusi yang kita perjuangkan dan pada PRU16 nanti, Keadilan Johor bertekad merampas semula kerusi ini.
“Kami yakin, rakyat bersama kita untuk membawa perubahan yang lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang di Muar.
Untuk rekod, kerusi Parlimen Mersing kini diduduki oleh Encik Muhammad Islahuddin Abas daripada parti Bersatu manakala kerusi DUN, iaitu DUN Endau dipegang oleh Cik Alwiyah Talib, juga daripada parti Bersatu, sementara DUN Tenggaroh pula dipegang oleh Encik K. Raven Kumar daripada BN, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg