Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PH Johor sedia hadapi kemungkinan saingan 3 penjuru pilihan raya negeri

Jul 23, 2025 | 1:59 PM
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Encik Dzulkefly Ahmad.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Encik Dzulkefly Ahmad. - Foto ihsan DZULKEFLY AHMAD

Pakatan Harapan (PH) Johor menyatakan kesediaannya untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pertandingan tiga penjuru berdepan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor, Encik Dzulkefly Ahmad, berkata gabungan PH mempunyai kekuatan tersendiri berdasarkan prestasi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022.

Menurutnya, walaupun PRU15 diadakan berasingan daripada PRN Johor yang berlangsung pada Mac 2022, tujuh bulan lebih awal, pola pengundian di peringkat Parlimen menunjukkan bahawa PH berpotensi besar menguasai sekurang-kurangnya 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika undi itu dipecahkan mengikut kawasan DUN.

“Kita percaya PH mampu berdiri di atas kekuatan sendiri. Jika melihat kepada data PRU15, kita sudah pun berada dalam kedudukan kukuh untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 23 Julai.

Encik Dzulkefly, juga Ketua Amanah Iskandar Puteri, berkata demikian ketika diminta mengulas usul yang dikemukakan dalam Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Iskandar Puteri pada 20 Julai.

Usul berkenaan mencadangkan agar PH bertanding di DUN Kota Iskandar dan DUN Skudai di mana kedua-duanya terletak dalam kawasan Parlimen Iskandar Puteri pada PRN Johor akan datang.

Usul itu dijangka dibawa ke peringkat Konvensyen Amanah Johor yang dijadual berlangsung pada 27 September 2025.

Menurutnya, peratusan keluar mengundi yang tinggi semasa PRU15 sekitar 75 peratus berbanding hanya 55 peratus semasa PRN Johor, menjadi petunjuk jelas bahawa pengundi cenderung memberi sokongan lebih besar kepada PH dalam senario pilihan raya umum.

Mengulas, Ketua Penerangan Umno Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Abdul Aziz Sapian, menegaskan Umno tidak gentar berdepan dengan sebarang bentuk pertandingan politik, sama ada dua atau tiga penjuru.

Menurutnya, Umno menghormati hak mana-mana parti untuk menentukan calon dan kawasan yang ingin ditandingi, namun menekankan bagi Umno, segala keputusan berkaitan strategi pilihan raya dan calon akan ditentukan kepimpinan tertinggi parti, bukan melalui desakan mana-mana pihak di peringkat kawasan.

“Umno Bahagian Iskandar Puteri tidak akan terganggu dengan retorik politik Amanah. Apapun bentuk pertandingan yang bakal berlaku, kami bersedia menghadapinya dengan keyakinan penuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan bahawa wakil rakyat BN yang kini menyandang kerusi DUN Kota Iskandar akan terus menjalankan amanah dengan penuh komitmen sehingga tamat penggal.

Datuk Abdul Aziz turut menyifatkan langkah Amanah untuk menyuarakan hasrat bertanding di kerusi yang sama sebagai petanda kegagalan PH menguruskan persefahaman dalaman, sekali gus berisiko memecahkan undi sesama sendiri.

“Rakyat akan menilai siapa yang benar-benar menjaga kepentingan mereka dan siapa yang sekadar mengejar kuasa. Umno akan terus memperkukuh kekuatan akar umbi serta memastikan kawasan ini kekal di bawah kepimpinan stabil dan berwibawa,” tegasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg