Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penahanan salah: Mahkamah M’sia tentukan pampasan perlu dibayar pada warga S’pura

Nov 6, 2024 | 11:16 AM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Jabatan Imigresen Malaysia kepada seorang warga emas warga Singapura berhubung penahanan secara tidak sah selama 13 hari pada 2018.

Encik Wong Chun Khuen memfailkan saman pemula (OS) pada Oktober lalu untuk penilaian ganti rugi, susulan keputusan mahkamah sebelum ini mengesahkan penahanannya sebagai tidak sah.

Peguam Encik Wong, Encik Arun Kasi, mengesahkan mereka memohon agar mahkamah menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh pihak imigresen Malaysia.

“Firma guaman saya, yang mewakili Wong, telah memfailkan OS di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Oktober terhadap ketua pengarah imigresen bagi menuntut ganti rugi susulan penahanan anak guam saya oleh imigresen.

“(Penahanan anak guam saya) telah pun diisytiharkan tidak sah dalam tuntutan terdahulu dan ini disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah (Tinggi) hari ini (5 November) telah mengarahkan supaya dokumen tambahan difailkan,” kata Encik Arun kepada Malaysiakini.

Pada 5 Mei 2021, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan penahanan Encik Wong oleh Jabatan Imigresen Johor sebagai tidak sah dari tarikh 14 Mac hingga 26 Mac 2018.

Menurut dokumen mahkamah, Encik Wong sepatutnya dibawa ke majistret secara sah pada 13 Mac 2018, kerana Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tahanan warga asing, yang ditahan di bawah undang-undang imigresen, perlu dibawa ke majistret dalam tempoh 14 hari dari tarikh penahanan.

Mahkamah tidak bersetuju dengan dakwaan Jabatan Imigresen bahawa Encik Wong telah dibawa ke majistret di Johor Bahru pada 12 Mac dan sekali lagi pada 26 Mac 2018.

Mahkamah Tinggi mendapati terdapat pelanggaran hak asas Encik Wong, di bawah Perkara 5(4), untuk dibawa ke majistret dalam tempoh 14 hari selepas ditahan.

Encik Wong hanya dibawa ke majistret pada 26 Mac 2018. Beliau kemudian dibebaskan selepas tempoh penahanan.

Menurut afidavit sokongan bagi tuntutan itu, pegawai imigresen menyerbu rumah Encik Wong di Johor Bahru sekitar 11.05 malam pada 28 Februari 2018.

Pegawai tersebut kemudian menahannya bersama beberapa warga asing lain. Beliau dibawa ke pusat tahanan Setia Tropika pada 1 Mac 2018 dan dua hari kemudian dipindahkan ke Depot Imigresen Pekan Nanas.

Encik Wong kemudiannya dibawa ke majistret pada 26 Mac 2018, yang mana beliau mengaku bersalah atas kesalahan imigresen dan dikenakan denda sebanyak RM30,000 ($9,100) dan dibebaskan selepas membayar denda berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg