Pendakwah bebas M’sia antara didakwa kerana kes provokasi agama
Pendakwah bebas M’sia antara didakwa kerana kes provokasi agama
KUALA LUMPUR: Beberapa individu termasuk Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah), iaitu pendakwah bebas, Zamri Vinoth, serta aktivis, Arun Dorasamy, didakwa berkaitan kes provokasi agama di beberapa mahkamah berasingan di Malaysia pada 17 Mac.
Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Zamri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam berhubung penganjuran perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, pada Februari lalu.
Zamri, 42 tahun, yang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan, didakwa melakukan kesalahan yang boleh mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam pada 12.23 tengah hari, 3 Februari lalu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Media Malaysia sebelum ini melaporkan siasatan terhadap penceramah bebas itu adalah berhubung kenyataannya pada perhimpunan berkenaan pada 7 Februari lalu, yang telah dirujuk kepada Pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC).
Kenyataan itu didakwa dibuat di laman Facebook ‘Zamri Vinoth’, yang mana ia telah dilihat dan didengar oleh SThiyagaraj di Restoran Nasi Kandar Kudu, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 ($1,465) dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 April ini.
Di Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang, pula, aktivis Arumugam Dorasamy, atau juga dikenali sebagai Arun Dorasamy, didakwa atas tuduhan membuat kenyataan di media sosial dengan niat menimbulkan kegusaran orang ramai pada Mac 2025.
Bagaimanapun, beliau yang berusia 56 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad.
Berdasarkan tuduhan, Arumugam didakwa menyiarkan kenyataan itu di akaun Instagramnya, @arun_dorasamy, yang dilihat dan didengar seorang individu, Nor Al Firdaus Nor Al Huda, di sebuah pusat beli-belah di Batu Kawan pada kira-kira 3.45 petang, 12 Mac 2025.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun untuk sebutan bagi penyerahan dokumen.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Seremban, Negeri Sembilan, seorang pemandu kenderaan privet, P Mahendra Boopathy, 53 tahun, didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli atas pertuduhan membuat hantaran di media sosial yang dikhuatiri mendatangkan khianat awam, pada 27 Februari lalu.

