Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki Australia didakwa susulan hantaran media sosial sokong serangan di Pantai Bondi

Dec 25, 2025 | 2:12 PM
Pantai Bondi, Krismas, lelaki Australia ditangkap
Pantai Bondi kelihatan tenang dan kembali seperti biasa pada sambutan Hari Krismas. - Foto AFP

SYDNEY: Seorang lelaki Australia telah didakwa dan ditahan selepas didakwa memuat naik pesanan di media sosial yang menyokong kejadian tembakan di Pantai Bondi.

Mahkamah di Australia Barat diberitahu pihak polis menemui enam senjata api berlesen, 4,000 butir peluru yang tidak disimpan dengan selamat, serta bahan bersifat antisemitik di rumahnya, lapor media Australia.

Detektif menyerbu rumah suspek pada 23 Disember, menurut kenyataan Polis Australia Barat.

Dia didakwa atas niat melakukan gangguan perkauman, membawa atau memiliki senjata terlarang, serta gagal menyimpan senjata api atau bahan berkaitan dengan betul.

Suspek, yang dinamakan media tempatan sebagai Encik Martin Thomas Glynn, 39 tahun, dari Perth, Australia, hadir di Mahkamah Majistret Fremantle pada 24 Disember.

Dia didakwa menyatakan sokongan 100 peratus terhadap kejadian tembakan besar-besaran pada 14 Disember di sebuah festival Yahudi di Pantai Bondi, yang mengorbankan 15 orang, menurut laporan media.

Glynn dilaporkan memberitahu mahkamah dia tidak berniat mencederakan sesiapa dan cuba membandingkan serangan Bondi dengan kematian rakyat Palestin di Gaza.

Dia ditahan reman sehingga sebutan semula kes di mahkamah pada Februari 2026, kata media tempatan.

Pesuruhjaya Polis Australia Barat, Col Blanch, berkata lelaki itu dipercayai tidak terbabit dengan mana-mana rangkaian.

“Kami berpendapat ini adalah individu yang membuat komen tersebut secara dalam talian, dan kami masih lagi menilai tahap ancaman individu berkenaan,” katanya kepada wartawan.

Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, berkata beliau telah diberi taklimat mengenai penangkapan itu.

“Tiada tempat di Australia untuk antisemitisme, kebencian dan ideologi ganas,” katanya dalam satu kenyataan.

“Saya berterima kasih atas usaha Polis Australia Barat (WA Police) dalam mengenal pasti individu ini dengan cepat dan bertindak serta-merta,” katanya. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg