Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk imbau detik cemas susulan kebakaran saluran paip gas di Selangor

Apr 2, 2025 | 5:24 PM
Kebakaran besar paip gas yang berlaku di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar meninggalkan penduduk sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dijilat api.
Kebakaran besar paip gas yang berlaku di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar meninggalkan penduduk sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dijilat api. - Foto FACEBOOK ANAK HULU SELANGOR

SUBANG JAYA (Selangor): “Hendak menangis pun tiada berair mata, kelam sudah sambutan Aidilfitri kami. Rezeki Allah pinjamkan ditarik sekelip mata.”

Demikian luah Cik Fadilah Yusof, 68 tahun, penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong yang terjejas susulan kebakaran besar berpunca letupan paip gas bawah tanah di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada Selasa.

Cik Fadilah yang menetap di situ sejak 1984 mengakui sedih dengan nasib menimpa dirinya sekeluarga, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

Mengimbau detik cemas terbabit, wanita kelahiran Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu asalnya enggan meninggalkan rumah, namun dipujuk anak bongsu, Encik Mohd Rizuwan.

Ibu kepada empat anak itu juga berharap ada keajaiban yang berlaku untuk mereka sekeluarga bangkit semula daripada episod duka itu.

“Anak pujuk, keluarlah emak. Jangan susah hati, kalau tiada rumah, emak boleh tinggal dengan anak.

“Mengenangkan pujukan anak saja yang buat saya keluar juga dari rumah.

“Siapa tak sedih melihat rumah dibina dengan titik peluh sendiri jadi sedemikian rupa.

Dulu Allah pinjamkan rezeki kepada saya dan suami, Encik Zaini Saidon untuk bina rumah atas tanah ini.

“Kami meminjam sana sini untuk bangunkan rumah sedikit demi sedikit. Namun, Allah ada perancangan tersendiri dan Dia tarik balik nikmat yang pernah dikurniakan kepada kami, sebelum ini.

“Apa yang saya boleh buat sekarang hanya berdoa supaya Allah rezekikan kami sekeluarga kembali membina kehidupan di atas tanah sama,” katanya.

Cik Fadilah antara ratusan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights di sini.

Berita Harian Malaysia melaporkan kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter yang bermula sekitar 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.

Rentetan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pagi Rabu, melakukan penandaan terhadap struktur rumah yang terkesan bagi mengenal pasti tahap keselamatannya, sebelum pasukan penyiasat memulakan tindakan lanjut.

Bagi Cik Nabila Mohamad Johar, 36 tahun dan empat lagi adiknya serta pasangan masing-masing tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi letupan, musnah dijilat api.

Malah, ibunya Cik Sharifah Mustafa, 59 tahun dan bapa Encik Mohamad Johar Misri, 66 tahun mengalami lecur tahap kedua, masing-masing kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Serdang.

“Ketika kejadian, saya baru bangun tidur dan suami tiba-tiba minta segera bawa dua anak keluar dari rumah serta selamatkan diri.

“Saya ingat kapal terbang terhempas kerana bunyi dentuman kuat sehingga bergegar tingkap, sebelum melihat api menjulang tinggi.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan kerana bahang terlampau panas, menyebabkan ibu dan ayah cedera, malah kami berlari sehelai sepinggang dengan masih berbaju tidur.

“Bayangkan saya sudah melarikan diri satu kilometer pun, bahang masih terasa, malah lebih panas daripada cerek elektrik, menyebabkan ada penduduk yang tidak tahan dan terjun ke sungai yang banyak buaya,” katanya.

Cik Nabila berkata Encik Mohamad Johar kebetulan mengalami sakit perut dan berulang alik dari tandas ketika kejadian, menyebabkan bapanya hanya memakai tuala mandi sahaja dan melecur di bahagian belakang badan.

“Ibu pula ingatkan bukan kebakaran, jadi beliau menutup semua suis elektrik sebelum meninggalkan rumah, menyebabkan beliau melecur di kaki dan leher.

“Tak tahu hendak cakap apa, kami sedih kerana rumah didiami sejak kecil kini sudah musnah.

“Kami sekeluarga baru dapat semangat untuk pulih daripada banjir besar pada 2021, tak sangka kini terpaksa lalui pengalaman jauh lebih perit melihat rumah hangus,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg