KUALA LUMPUR: Seramai 111 mangsa mendapatkan rawatan di hospital susulan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, pada 1 April dengan 13 daripadanya berada di zon merah (kritikal).
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Penolong Pesuruhjaya, Encik Wan Azlan Wan Mamat, berkata daripada jumlah berkenaan, 55 mangsa menerima rawatan di zon kuning (sebahagian kritikal); manakala 43 lagi kategori zon hijau (kecemasan tidak kritikal).
“Seramai 75 individu menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah Serdang dan Hospital Cyberjaya manakala 36 mangsa mendapatkan rawatan di hospital lain, antaranya Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh,” katanya di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Subang, pada 2 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Wan Azlan berkata setakat ini seramai 529 mangsa ditempatkan di dua pusat perlindungan sementara iaitu di Dewan Masjid Putra Heights membabitkan 485 individu daripada 110 keluarga manakala 44 individu daripada lapan keluarga lagi berteduh di Dewan Serbaguna MBSJ (Camelia).
Sejauh ini, sebanyak 235 premis serta 399 kenderaan terjejas dalam kebakaran berkenaan.
“Setakat ini polis menerima 59 laporan, antaranya berkaitan rumah dan kenderaan terjejas, kecederaan serta isu tanah,” katanya.
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan kebakaran pada 8.10 pagi 1 April berlaku di saluran paip utama Petronas Gas Bhd (PGB).
Tinjauan media di tapak kebakaran mendapati kawasan terjejas sekitar Putra Heights, Subang Jaya, bagai tapak medan perang.
Banyak rumah kediaman dan kenderaan rosak teruk atau hangus.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, menyatakan ramai saksi kebakaran menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Dalam satu sidang media, beliau memaklumkan pemeriksaan rapi dan penilaian tahap keselamatan ke atas setiap unit yang terlibat dalam kebakaran dilakukan sebelum penghuni dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata seramai 325 anggota serta pegawai daripada 11 agensi terbabit dalam operasi pemadaman dan menyelamat yang mengambil masa lebih tujuh jam sebelum api berjaya dikawal pada 3.34 petang 1 April.
Beliau turut memaklumkan kemungkinan berlakunya letupan susulan adalah sangat rendah kerana tiada aliran gas dikesan selepas penutupan empat injap utama di Kampung Lombong Puchong, Batu Tiga, Shah Alam dan Klang pagi 1 April.
Polis akan menyiasat dakwaan punca kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights Subang Jaya, Selangor disebabkan oleh kerja mengorek di tanah rizab Petronas.
Laporan awal berhubung kebakaran saluran paip gas Petronas itu dijangka diketahui dalam tempoh 72 jam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg