Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk JB guna air di stesen minyak, restoran akibat krisis air berlarutan

May 23, 2025 | 10:28 AM
gangguan bekalan air, Johor
Pemilik kedai kopi, Encik Roland Lim, membasuh tangan menggunakan botol air di sebuah restoran yang turut mengalami gangguan bekalan air. - Foto THE STAR.

JOHOR BAHRU: Sebilangan penduduk di beberapa kawasan sekitar bandar raya Johor Bahru terpaksa menggunakan tandas dan bilik mandi di stesen minyak bagi membersihkan diri selepas lebih 24 jam berdepan gangguan bekalan air secara besar-besaran.

Ada juga yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan air botol untuk meneruskan kehidupan harian, termasuk untuk memasak, membersihkan diri dan beribadah.

Cik Faridah Zainuddin, 50 tahun, berkata beliau tidak mempunyai pilihan lain selain berjalan kaki ke stesen minyak berhampiran rumahnya setiap kali ingin mengambil wuduk dan menggunakan tandas.

“Gangguan air ini bukan sahaja menjejas rumah saya bahkan juga tempat kerja.

“Restoran tempat saya bekerja terpaksa ditutup kerana kami tidak sempat menyimpan bekalan air untuk kecemasan seperti ini.

“Saya hanya berharap krisis ini segera berakhir supaya saya boleh kembali bekerja,” katanya lapor The Star.

Pemilik kedai kopi, Encik Roland Lim, 70 tahun, pula bernasib baik kerana masih boleh menggunakan tandas di asrama pekerjanya setelah paip air di rumahnya di Taman Kim Teng Park tidak lagi mengalir.

“Situasi ini sangat menyusahkan kerana kami terpaksa membuat pelbagai pelan kecemasan pada saat akhir hanya untuk melaksanakan rutin harian.

“Kami juga tidak dimaklumkan lebih awal bahawa gangguan air akan berlaku selama ini,” katanya.

Encik Lim yang juga Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Johor Bahru berkata sebahagian ahli persatuan terpaksa menutup premis makanan mereka kerana tidak dapat mencari alternatif sumber air bersih.

Syarikat Ranhill SAJ sebelum ini memaklumkan gangguan berlaku susulan hujan lebat pada 20 Mei yang menyebabkan kerosakan pada enam unit pam air di loji rawatannya.

Dianggarkan seramai 300,000 pengguna di Johor Bahru terjejas akibat gangguan air yang bermula sekitar 10 pagi pada 21 Mei.

Syarikat air itu sebelum ini menyasarkan kerja pembaikan siap menjelang tengah malam hari yang sama.

Namun, dalam satu pengumuman khas di Dewan Undangan Negeri Johor, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengakui kerja pembaikan mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.

“Pam air tersebut sepatutnya dibaiki sepenuhnya pada Rabu (21 Mei) tetapi masih mengalami masalah. Saya telah arahkan pihak Ranhill SAJ mempercepatkan kerja pembaikan” katanya.

Beliau turut mengarahkan beberapa daerah berhampiran menghantar bantuan lori tangki dan air botol ke kawasan kediaman terjejas bagi mengurangkan beban penduduk.

Ranhill SAJ turut memaklumkan 16 lori tangki telah digerakkan ke lokasi kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg