Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MB Johor sedih penderitaan penduduk terkesan akibat banjir

Banjir kali ini disifatkan penduduk sebagai antara terburuk pernah melanda selepas bencana banjir besar 2006
Mar 21, 2025 | 12:15 PM
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika melawat mangsa banjir di PPS Dewan MBIP Skudai.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika melawat mangsa banjir di PPS Dewan MBIP Skudai. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, melahirkan kesedihan di atas penderitaan rakyat negeri itu yang terjejas banjir hingga rumah ditenggelami air dan kehilangan harta benda, sembilan hari lagi menjelang Aidilfitri.

Datuk Onn Hafiz berkata kerajaan Johor tidak akan sesekali berpeluk tubuh dan membiarkan kebajikan rakyat terus terpinggir berhadapan bencana banjir.

“Luluh hati saya mendengar rintihan dan luahan mereka yang terkesan akibat bencana ini.

“Mereka diuji dengan kesusahan yang tidak terduga, rumah ditenggelami air, harta benda musnah dan anak kecil yang terpaksa berlindung di pusat pemindahan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

“Dalam menghadapi ujian ini, kerajaan Johor tidak akan sesekali berpeluk tubuh. Kami sedang dan akan terus menggerakkan semua usaha untuk menyelaras bantuan, memastikan bekalan makanan mencukupi serta menyediakan segala keperluan asas supaya kebajikan mangsa terjamin.

“Marilah kita sama-sama berdoa supaya hujan segera reda dan keadaan kembali pulih seperti sediakala. Semoga Allah swt mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada semua yang terjejas. Moga Ramadan ini tetap membawa keberkatan buat seluruh Bangsa Johor meskipun dalam ujian yang berat ini, insya-Allah,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Jumlah mangsa banjir di Johor dilaporkan terus meningkat di lima daerah terjejas, membabitkan Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi.

Banjir kali ini disifatkan penduduk terjejas sebagai antara terburuk pernah melanda selepas bencana banjir besar 2006, 19 tahun lalu.

Ia mengakibatkan banyak rumah penduduk ditenggelami air sehingga paras bumbung, selain menyebabkan ramai mangsa dilaporkan terperangkap di kediaman aras tinggi sehingga terpaksa memohon bantuan makanan.

Banjir akibat hujan lebat berterusan hampir 48 jam bermula 19 Mac itu turut menyebabkan kesesakan luar biasa di Johor Bahru dengan ramai pengguna jalan raya dilaporkan terperangkap.

Mengulas lanjut, Datuk Onn Hafiz berkata Jabatan Meteorologi (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dijangka berterusan sehingga 21 Mac.

“Justeru, saya meminta seluruh Bangsa Johor yang berada di kawasan berisiko tinggi supaya terus berwaspada, menjaga keselamatan diri dan keluarga serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Jangan ambil risiko yang boleh membahayakan nyawa,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg