PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, akan bertemu dengan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) pada 6 September.
Pertemuan itu, katanya, bertujuan membincangkan isu berkaitan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di jabatan kerajaan dan kementerian yang dibantah organisasi berkenaan.
Terdahulu Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Encik Fahmi Fadzil, berkata kenyataan MCCBCHST berkaitan penempatan pegawai Jakim di jabatan kerajaan dan kementerian sehingga mengganggu penggubalan dasar adalah tidak berasas.
Beliau menjelaskan, tiada penempatan baru membabitkan pegawai Jakim di mana-mana jabatan atau kementerian setakat ini, sebaliknya pegawai agensi yang ada di sejumlah kementerian adalah mereka yang ditempatkan sejak dahulu.
Datuk Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengarahkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Datuk Mohd Na’Mokhtar untuk mengadakan pertemuan dengan pihak MCCBCHST dalam tempoh terdekat.
Ini bagi mengelakkan salah faham isu penempatan pegawai Jakim.
Kenyataan MCCBCHST pada 2 September membantah cadangan menempatkan pegawai Jakim di jabatan kerajaan yang didakwa berpotensi menjejas jaminan Perlembagaan termasuk hak asasi dilindungi Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas Perlembagaan.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada artikel, Daily Express, yang memetik dakwaan Naib Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), Encik David Ong, berhubung perkara terbabit.
Bagaimanapun, Datuk Na’im menjelaskan tujuan pegawai Jakim ditempatkan hanya untuk mengendalikan program keagamaan. – BHM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg