Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ceramah agama harus ambil kira konteks masyarakat majmuk di S’pura

Aug 21, 2024 | 8:38 PM
Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, berkata ceramah merupakan wadah penting untuk mendekati masyarakat dan menyampaikan sesebuah mesej.
Namun, pemahaman dan pengamalan agama, khususnya dalam penyampaian ceramah Islam, harus bersesuaian dengan konteks masyarakat Islam di Singapura.
Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, berkata ceramah merupakan wadah penting untuk mendekati masyarakat dan menyampaikan sesebuah mesej. Namun, pemahaman dan pengamalan agama, khususnya dalam penyampaian ceramah Islam, harus bersesuaian dengan konteks masyarakat Islam di Singapura. - Foto ST

Penyampaian ceramah oleh mana-mana pendakwah, tidak kira latar belakang agama mahupun kewarganegaraan, di Singapura harus berlandaskan nilai-nilai yang memupuk ke arah kebaikan dan mengambil kira konteks masyarakat majmuk di sini.

Ini bermakna mana-mana unsur yang menghasut kebencian terhadap berbilang segmen masyarakat tidak boleh diterima dan ditolak sama sekali.

Hal sedemikian dikongsi para pakar kepada Berita Harian (BH) susulan siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa ke atas pendakwah warga Bangladesh, Hamza Md Amir.

Dalam satu kenyataan pada 21 Ogos, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengatakan ia sedang menyiasat Amir kerana dia telah menyampaikan ceramah secara haram kepada pekerja asing Bangladesh di Lantana Lodge, dormitori di Tech Park Crescent, pada 9 Ogos.

MHA menambah ceramah yang disampaikan Amir mengandungi unsur berbaur segregasi dan ekstremis yang boleh “mengancam keharmonian kaum di Singapura”.

Pihak polis menerima laporan pada 12 Ogos bahawa dia telah menyampaikan ceramah kepada sekumpulan pekerja Bangladesh di dormitori tersebut.

Dia memasuki Singapura menggunakan pasport dengan nama berbeza pada 9 Ogos dan meninggalkan negara ini pada 10 Ogos, tambah MHA.

Dia menyampaikan ceramah secara haram kerana tidak mendapat permit – pendakwah luar negara perlu mendapatkan Pas Kerja Rencam oleh Kementerian Tenaga Kerja (MOM) terdahulu dan melalui semakan latar belakang ketat oleh penaja/penganjur tempatan yang menjemput pendakwah sedemikian.

Berkongsi kepada BH, Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, berkata ceramah merupakan wadah penting untuk mendekati masyarakat dan menyampaikan sesebuah mesej.

Namun, pemahaman dan pengamalan agama, khususnya dalam penyampaian ceramah Islam, harus bersesuaian dengan konteks masyarakat Islam di Singapura.

Ustaz Dr Ali berkata: “Masyarakat Islam di sini hidup dalam tiga keadaan unik. Pertama, mereka merupakan golongan minoriti.

“Kedua, mereka hidup dalam masyarakat sekular dan ketiga, mereka hidup dalam masyarakat berbilang kaum/agama.

“Wadah ceramah ini harus mengambil kira ciri ketiga-tiga keunikan masyarakat Islam di sini.”

Penceramah yang sedang disiasat, kata beliau, tidak mengambil kira keunikan ini, malah menyampaikan sesuatu yang dapat memecah-belahkan masyarakat dan bersifat ekstremis.

Ini di samping menyuntik isu politik negaranya dalam penyampaian ceramah, yang menurut Ustaz Dr Ali, “mempunyai potensi retorik menghasut keganasan”.

MHA menjelaskan Amir menggelarkan golongan bukan Muslim sebagai ‘kafir’ dan didakwa menyanjung golongan ekstremis Bangladesh – termasuk beberapa pemimpin Jamaat e-Islami, yang diharamkan di Bangladesh kerana didakwa terlibat dalam aktiviti pengganasan – sebagai pendukung agama.

Amir dikatakan turut menggelar mantan Perdana Menteri Bangladesh, Cik Sheikh Hasina, sebagai ‘penindas’, kata MHA lagi.

Sentimen Ustaz Dr Ali turut dikongsi Pengarah Dialogue Centre Limited, pertubuhan bukan pemerintah yang menggerakkan dialog dan program mengenai hubungan antara agama, kaum dan perbezaan keyakinan, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib.

Beliau berkata ceramah Islam “harus berpandukan nilai-nilai Islam yang telah disepakati”.

“Secara umum, nilai-nilai ini bersifat universal, manusiawi dan membawa kepada kebaikan.

“Jika ada unsur-unsur yang bercanggah seperti membawa kepada kebencian, ini harus dilaporkan kepada pihak bertanggungjawab atau harus berani menyuarakan ketidaksetujuan (terhadap hal bercanggah),” katanya.

Itulah pentingnya masyarakat Islam dan masyarakat Singapura, secara amnya, perlu mengenal pasti unsur bercanggah yang berpotensi menghasut keharmonian masyarakat, tambah beliau.

“Penting untuk kita sama-sama memantau dan tidak menerima bulat-bulat apa yang disampaikan melalui ceramah atau kuliah agama.

“Ini memerlukan pendidikan minda masyarakat untuk dapat bersikap kritikal, peka kepada konteks masyarakat yang ada serta mengetahui apa yang baik dan buruk,” ujar Encik Imran.

Pengasas dan presiden pertubuhan antara agama hash.peace, Cik Nazhath Faheema, menggariskan pendekatan kritikal yang boleh diambil untuk mengenal pasti unsur percanggahan ini.

Antaranya, beliau menyatakan masyarakat harus peka dengan mentaliti ketaasuban perbandingan antara kaum/agama, sikap tidak bertoleransi terhadap kepercayaan berbeza, memburukkan kumpulan lain, menggalakkan pengganasan, menyerlahkan agenda politik bertopengkan agama, atau tidak mengendahkan undang-undang sesebuah negara.

“Ini adalah tanda jelas ideologi ekstremis yang boleh mengancam perpaduan sosial dan mesti ditangani,” katanya.

Ustaz Dr Ali akur ideologi dan ancaman ektremis akan tetap wujud, tetapi ia “tidak boleh dibiarkan berakar dalam masyarakat” dengan meningkatkan kesedaran awam.

Sementara itu, penapisan penceramah asing sebelum mereka diundang ke sini harus juga diberi perhatian agar kewibawaan dan sejarah mereka sebelum ini dapat dikenal pasti untuk mengelak sebarang anasir atau fahaman yang tidak diingini berputik di sini.

Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, berkata pemeriksaan latar belakang yang ketat perlu dan jika terdapat sebarang keraguan, adalah lebih baik untuk merujuk individu itu kepada pihak berkuasa bagi pandangan mereka.

Ini di samping menekankan isi kandungan yang perlu dielakkan oleh penceramah itu sekiranya diundang, tambahnya.

Memberi contoh pengalamannya, beliau berkata: “Kami akan berbincang secara terus terang apa yang boleh beliau ceramahkan dan apa yang beliau wajib elak.

“Ini termasuklah isu-isu sensitif seperti kaum, bangsa, agama, atau dasar-dasar negara yang rakyat asing memang dicegah untuk komen – termasuk memberi pendapat yang berpotensi menggugat keharmonian kaum dan agama dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Singapura.”

 “Masyarakat Islam di sini hidup dalam tiga keadaan unik. Pertama, mereka merupakan golongan minoriti. Kedua, mereka hidup dalam masyarakat sekular dan ketiga, mereka hidup dalam masyarakat berbilang kaum/agama. Wadah ceramah ini harus mengambil kira ciri ketiga-tiga keunikan masyarakat Islam di sini.”
Ustaz Dr Mohamed Ali, Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

“Secara umum, nilai-nilai ini bersifat universal, manusiawi dan membawa kepada kebaikan. Jika ada unsur-unsur yang bercanggah seperti membawa kepada kebencian, ini harus dilaporkan kepada pihak bertanggungjawab atau harus berani menyuarakan ketidaksetujuan (terhadap hal bercanggah).”
Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, Pengarah Dialogue Centre Limited.

“Ini adalah tanda jelas ideologi ekstremis yang boleh mengancam perpaduan sosial dan mesti ditangani.” 
Cik Nazhath Faheema, pengasas dan presiden pertubuhan antara agama hash.peace.

“Kami akan berbincang secara terus terang apa yang boleh beliau ceramahkan dan apa yang beliau wajib elak. Ini termasuklah isu-isu sensitif seperti kaum, bangsa, agama, atau dasar-dasar negara yang rakyat asing memang dicegah untuk komen – termasuk memberi pendapat yang berpotensi menggugat keharmonian kaum dan agama dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Singapura.”
Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, Presiden Jamiyah.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg