MUAR: Bermula daripada kios tepi jalan dengan meraih untung RM20 ($6.30) sehari pada hari pertama berniaga, detik sukar itu menjadi pemangkin kejayaan pengasas Muiz Hot Chicken untuk membangunkan perniagaan yang kini memiliki lebih 180 kios dan lima cawangan restoran dengan jumlah jualan mencecah sekitar RM45 juta pada 2025.

Encik Muhamad Muizzuddin Remle, 33 tahun, yang berasal dari Parit Raja, berkata tekadnya tidak terhenti di situ apabila turut menyasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan membuka cawangan di Brunei dan Singapura pada masa depan.

Beliau berkata perancangan itu dirangka bagi memastikan perniagaannya yang bermula sejak 2013 terus kukuh, dengan tahun lalu sahaja, kira-kira 1.143 juta ketul ayam telah terjual di seluruh negara.

“Langkah pertama dalam perancangan adalah dengan masuk ke acara seperti festival makanan di kedua-dua negara itu (Brunei dan Singapura) pada tahun ini (2026) terlebih dahulu, untuk melihat bagaimana pasaran dan sambutan terhadap Muiz Hot Chicken,” katanya kepada agensi Bernama ketika ditemui di Muiz Hot Chicken, Pagoh Jaya.

Encik Muhamad Muizzuddin turut merancang membuka cawangan restoran keenam, yang juga yang pertama memiliki kemudahan pandu lalu di Sungai Merab, Bangi, dengan terdapat lebih 10 set menu seperti ayam goreng, nasi lemak, burger dan bubur turut disajikan kepada pelanggan di Muiz Hot Chicken.

Perjalanan perniagaannya bermula dengan menimba pengalaman bekerja di warung milik ibu saudaranya sebagai pembancuh air, sebelum diberi kepercayaan menguruskan bahagian jualan ayam goreng.

Berbekalkan impian dan minat mendalam, beliau yang ketika itu berusia 20 tahun, memberanikan diri membuka kios sendiri secara kecil-kecilan yang dikenali sebagai ‘Ayam Goreng Rangup’ di Jalan Temenggong Ahmad, Parit Raja.

Beliau menggunakan ramuan ibu saudaranya, seterusnya menghasilkan resipi tersendiri setahun kemudian dan menjenamakannya kepada Muiz Hot Chicken.

Menyifatkan dirinya sebagai orang yang sangat teliti dalam soal rasa, beliau menjelaskan bahawa bahan-bahan termasuk rempah bermutu digunakan dalam ramuan bagi menghasilkan ayam yang enak.

Perihal ini merupakan antara faktor Muiz Hot Chicken menjadi pilihan ramai penggemar ayam goreng.

“Saya ambil masa lapan bulan untuk hasilkan resipi ikut cita rasa sendiri, sebab saya agak cerewet sedikit pasal makanan. Jadi mungkin perkara pertama menjadi faktor pelanggan saya berulang beli (ayam goreng Muiz), sebab salah satunya kita guna bahan bermutu,” katanya yang turut mementingkan maklum balas dan pendapat pelangganya.

Encik Muhamad Muizzuddin berkata sebahagian besar perniagaannya dibangun dengan menggunakan duit sendiri dan bantuan pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional serta Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Berkongsi onak dan duri sepanjang berkecimpung dalam dunia perniagaan, beliau berkata cabaran dan dugaan mengujinya pada hari pertama pembukaan kios apabila memperoleh untung hanya sekitar RM20, membuatkannya putus asa.

Bagaimanapun, ketika semangatnya berada di paras terendah, teguran membangun yang sentiasa dilontarkan bapanya agar beliau bangkit dan berusaha bersungguh-sungguh menjadi cabaran terbesar mencetuskan iltizam serta tekad dalam dirinya.

Bapa dua anak itu turut diuji dengan kemalangan di Kuantan, Pahang, tiga tahun lalu (2023), selepas enam jam mengambil kereta idamannya yang baharu dibeli atas usaha dan penat lelah berniaga.

“Kereta hampir ‘total lost’. Syukur Alhamdulillah, saya dan isteri tidak cedera. Walaupun sebenarnya saya rasa sedih dan hilang semangat sebab penat lelah kumpul duit (beli kereta), tetapi dari situ saya belajar sebenarnya Tuhan mahu jentik hati supaya saya reda (tawakal),” katanya.

Beliau berkata ujian itu menjadi pembakar semangat dan kunci rezeki apabila perniagaannya berkembang maju, selain menerima pengiktirafan daripada MARA iaitu Anugerah Ikon Usahawan Industri Makanan dan Minuman serta Anugerah Kecemerlangan Usahawan Belia daripada Halal Development Corporation Bhd (HDC).

Sehubungan itu, beliau menasihati usahawan muda supaya sentiasa memiliki kesabaran tinggi dan minat mendalam sebelum mengambil keputusan menceburi sebarang bidang perniagaan.