Penguasa cukai M’sia buru 14,858 pemastautin miliki RM10b di luar negara
Penguasa cukai M’sia buru 14,858 pemastautin miliki RM10b di luar negara
Pengesanan dibuat hasil pertukaran maklumat akaun antarabangsa libat kerjasama lebih 100 negara
PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti 14,858 orang pemastautin cukai Malaysia dengan jumlah keseluruhan baki akaun kewangan luar negara melebihi RM10 bilion ($3.21 bilion), namun tidak mengemukakan pelaporan cukai melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).
Dalam kenyataan pada 2 Februari, LHDN memaklumkan pengesanan itu dibuat hasil pertukaran maklumat akaun kewangan antarabangsa melibatkan kerjasama dengan lebih 100 negara, sejajar usaha memperkukuh pematuhan cukai serta menangani isu pelarian cukai rentas sempadan.
Menurut LHDN, akaun kewangan luar negara dengan baki yang signifikan berkenaan turut melibatkan beberapa negara seperti Luxembourg, Hong Kong, Guernsey, Cayman Islands, Bahamas dan Bermuda.
“LHDN telah menghantar peringatan kepada pemastautin cukai berkenaan sebagai pendekatan galakan pematuhan secara sukarela, di samping memberi ruang untuk membuat semakan dan pengisytiharan pendapatan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Bagi mengelakkan penalti serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, LHDN menasihati pemastautin cukai Malaysia yang mempunyai pendapatan belum dilaporkan dan mempunyai akaun kewangan luar negara daripada sumber pendapatan yang sepatutnya dikenakan cukai di Malaysia untuk tampil secara sukarela dalam tempoh terdekat bagi membuat pelaporan serta pematuhan yang sewajarnya.
“LHDN komited untuk terus mentadbir sistem percukaian negara secara telus, berintegriti dan profesional, selaras dengan piawaian percukaian antarabangsa.
“Dengan pendekatan berstrategi dan kerjasama semua pihak, LHDN akan terus memperkukuh tadbir urus percukaian negara demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara,” menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini beberapa kali menggesa LHDN agar memastikan pihak-pihak ‘maha kaya’ yang wajib membayar cukai melaksanakan tanggungjawab mereka itu dan tidak culas.
Dalam pada itu untuk 2025, bayaran balik cukai mencatat paras tertinggi dalam tempoh lima tahun, disokong oleh bayaran tambahan RM7.5 bilion pada Disember 2025, berbanding keseluruhan peruntukan tambahan bayaran balik lebihan cukai sebanyak RM4 bilion yang diumum sebelum ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan baru-baru ini berkata bagi 2025, jumlah bayaran balik cukai yang diselesaikan oleh LHDN adalah sebanyak RM22.45 bilion yang melibatkan 3.6 juta pembayar cukai.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas mengenai perkara itu boleh hubungi HASiL contact centre menerusi talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (luar negara), HASiL live chat dan borang maklum balas menerusi laman rasmi https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.
“
“Dengan pendekatan berstrategi dan kerjasama semua pihak, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) akan terus memperkukuh tadbir urus percukaian negara demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara.”
