Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia jimat RM20b dalam 2 tahun hasil pengukuhan fiskal

Oct 9, 2025 | 11:36 AM
Malaysia, kukuh, fiskal
Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Cik Lim Hui Ying. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan Malaysia melaksanakan pengukuhan fiskal bagi mengurangkan kadar defisit berjaya menghasilkan penjimatan pinjaman RM20 bilion ($6.1 bilion) bagi tempoh dua tahun, kata Timbalan Menteri Kewangan, Cik Lim Hui Ying.

Beliau berkata pengukuhan fiskal berjaya menurunkan kadar defisit secara konsisten setiap tahun iaitu daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 4.1 peratus bagi 2024.

“Pengurangan kadar defisit bermakna pinjaman baru telah menurun daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023 dan seterusnya kepada RM76.8 bilion pada 2024, iaitu penjimatan lebih RM20 bilion dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat (Parlimen), pada 8 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurut Cik Lim, pinjaman dibuat kerajaan adalah secara berhemat dan terarah kepada sektor pembangunan strategik iaitu infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial yang berupaya merangsang pertumbuhan jangka masa panjang dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Dalam mengawal hutang negara, kerajaan tertakluk kepada hak hutang berdasarkan perundangan. Sehingga akhir Jun 2025, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan ialah RM1.3 trilion iaitu masih di bawah hak statutori hutang yang dibenarkan.

“Kerajaan akan meneruskan langkah-langkah bersesuaian bagi mengurangkan defisit dan hutang baru termasuk liabiliti serta kebergantungan negara kepada hutang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Cik Lim menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas pembayar cukai adalah berdasarkan peruntukan undang-undang percukaian tanpa mengira status pembayar cukai.

Jelasnya, bagi pembayar cukai yang culas membayar cukai, tindakan penguatkuasaan guaman sivil diambil melalui operasi guaman, pemfailan saman, penghakiman dan pelaksanaan penghakiman, serta sekatan perjalanan untuk menghalang pembayar cukai keluar negara.

“Sehingga 31 Ogos 2025, daripada baki akaun belum terima (ABT) LHDN, sebanyak RM6.47 bilion telah dikurangkan melalui penerimaan bayaran dan lain-lain tindakan,” ujarnya.

Selain itu, beliau menjelaskan keputusan hapus kira berjumlah RM337.14 juta pada 2024 telah dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan dan garis panduan LHDN.

Ini termasuk kes seperti pembayar cukai yang meninggal dunia, bankrap atau syarikat telah digulung.

“Kerajaan akan meneruskan langkah bersesuaian bagi mengurangkan defisit dan hutang baru termasuk liabiliti serta kebergantungan negara kepada hutang,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg