ALOR GAJAH (Melaka): Suasana ceria di pantai peranginan Tanjung Bidara bertukar kecoh apabila seekor ular sawa batik muncul dari laut tengah hari 21 September.
Reptilia seberat hampir lapan kilogram (kg) dan sepanjang dua meter itu dikesan berenang berhampiran pengunjung yang sedang mandi pada 12.15 tengah hari, sekali gus mencetuskan detik cemas.
Terkejut dengan kemunculan mengejut ular berkenaan, orang ramai segera melaporkan kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di Menara Penyelamat Pantai.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten Shahrulnizam Md Shah, berkata dua anggotanya bergegas ke lokasi dan mengesan ular sawa itu kira-kira 25 meter dari pesisir pantai.
“Dua anggota kami, Lans Koperal Muhammad Shahril Hizhar Anuawi dan Prebet Muhammad Irsyad Dini Tawi menggunakan papan luncur penyelamat dan tanjul ular untuk menangkap haiwan itu, bagi mengelak risiko kepada pengunjung,” katanya ketika dihubungi Berita Harian Malaysia.
Menurutnya, operasi menangkap ular berkenaan mengambil masa kira-kira 30 minit berikutan kesukaran mengekori pergerakannya di dalam air.
Sementara itu di Baling, Kedah, bunyi bising di belakang rumah seorang penduduk di Kampung Gua Reban, Kupang, pada awal pagi 22 September, membongkar kejadian seekor ular sawa membaham ayam dalam reban.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Encik Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada jam 6.28 pagi.
Beliau berkata sepasukan anggota diketuai Encik Juhairi Osman bersama enam anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, ular sawa itu masih berada dalam reban ayam dan sedang membaham ternakan itu.
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk menangkap reptilia itu kerana ia bertindak agresif,” katanya ketika dihubungi.
Encik Zulkhairi berkata anggotanya terpaksa menggunakan batang penjerut panjang untuk menangkap ular sawa sepanjang empat meter yang cuba membelit itu.
“Operasi tamat pada 7.45 pagi tadi dan kita menasihatkan penduduk berwaspada ketika cuaca tidak menentu ini, hubungi pasukan penyelamat untuk bantuan menangkap ular,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg