Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dapat kepuasan tugas lindung reptilia seperti ular bagi eko alam

Jan 26, 2025 | 5:30 AM
Bertugas di syarikat kawalan haiwan pemusnah atau ‘pest control’ Origin Exterminators, Encik Salman Mohd Said, percaya bahawa hidupan liar seperti ular penting kepada ekosistem kita.
Bertugas di syarikat kawalan haiwan pemusnah atau ‘pest control’ Origin Exterminators, Encik Salman Mohd Said, percaya bahawa hidupan liar seperti ular penting kepada ekosistem kita. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Masyarakat Cina bersiap meraikan Tahun Baru Cina (CNY) yang merupakan Tahun Ular berdasarkan kalendar lunar.

Reptilia seperti ular sering digeruni dan disalah erti.

Namun seorang individu, Encik Salman Mohd Said, mendedikasikan tugas bagi menyelamatkan dan memastikan reptilia itu dilindungi dan dipindahkan secara bertanggungjawab.

Encik Salman bekerja sebagai sebagai pengawal haiwan perosak atau pest controller di syarikat kawalan dan pengurusan haiwan pemusnah Origin Exterminators, sejak lapan tahun lalu.

“Saya beralih daripada pekerjaan ‘akses tali’ (rope access) kepada industri kawalan haiwan perosak – satu langkah yang sering dianggap sebagai pekerjaan yang tidak ramai mahu melakukannya,” luah kata Encik Salman, 37 tahun.

Namun, bagi beliau, ia adalah satu peluang untuk belajar dan meningkatkan kemahirannya.

“Dulu, saya memang takut dengan ular. Melalui kursus dalam pengurusan kebajikan haiwan, saya dapat mengatasi perasaan saya itu,” ujarnya.

Tugas harian sebagai pengawal haiwan perosak termasuk memeriksa hartanah, mengenal pasti masalah perosak dan melaksanakan huraiannya.

Ini juga termasuk mengemukakan cadangan bagi pencegahan.

“Dalam tugas menyelamatkan reptilia seperti ular, saya lakukan sebagai kerja ad-hoc (berkala). Sebulan saya terima sekitar 10 aduan mengenai ular,” tambahnya lagi.

Landskap bandar Singapura dan penebangan hutan yang berterusan telah menjadikan ular lebih biasa dilihat di kawasan perumahan.

Antara spesies ular yang biasa ditemuinya ialah ular sawa, ular tedung selar (king cobra) dan ular senduk (cobra).

“Ular terpendek yang saya selamatkan ialah tiga meter panjang. Walau pada saiz itu, ia sangat kuat,” katanya.

Menurut Encik Salman, proses menyelamatkan ular biasanya bermula dengan maklumat daripada penduduk yang prihatin.

“Kami memberitahu mereka supaya berada jauh sekurang-kurangnya dua meter dari ular berkenaan dan memantau pergerakannya sementara menantikan ketibaan kami,” katanya.

Pasukan penyelamat, biasanya terdiri daripada dua anggota, dilengkapi dengan peralatan khusus seperti penyepit ular, sarung tangan serta but keselamatan.

“Kami menggunakan tuala basah untuk menutup kepala ular dan mengikat ekornya dengan hati-hati sebelum memindahkannya ke dalam bekas,” jelas Encik Salman.

Ular yang diselamatkan kemudian dihantar ke Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres), diperiksa dan dipasang cip mikro untuk dipantau.

Antara pengalaman Encik Salman yang paling tidak dapat dilupakan ialah semasa operasi menyelamatkan seekor ular di atas kapal yang berlabuh pada tengah malam.

“Ular itu berada di atas kapal, dan kami terpaksa menaiki tangga dengan pencahayaan yang terhad. Memang gementar juga waktu itu tetapi alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Encik Salman berharap lebih ramai orang akan memahami bahawa ular secara semula jadi tidak agresif.

“Ular adalah haiwan pemalu, perahsia yang memainkan peranan penting dalam ekosistem kita. Sebagai contoh, mereka bergantung pada sumber tenaga luaran seperti matahari dan menggunakan lidah bercabang untuk mengambil molekul bau,” jelasnya.

Encik Salman menasihatkan pemilik rumah supaya mengambil langkah pencegahan seperti memastikan taman mereka kemas, menutup retak dan menanam tanaman penghalau ular semula jadi seperti marigold, serai dan lavender.

Jika seseorang terserempak dengan ular, Encik Salman menasihatkan supaya bertenang, jaga jarak selamat dan elakkan daripada mengejutkan ular tersebut.

“Jangan cuba-cuba mengadang atau menangkap ular itu sendiri. Sebaiknya, hubungi Lembaga Taman Negara (NParks) atau Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) untuk mendapatkan bantuan profesional,” katanya.

Encik Salman mendapati kerjanya amat memuaskan.

“Menyelamatkan reptilia ini adalah mengenai melindungi mereka dan memastikan pelepasan selamat ke habitat semula jadi mereka.

“Mereka adalah sebahagian daripada hidupan liar asli kita dan penting kepada ekosistem kita,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg