Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Pengurangan hukuman penjara Najib berasas jasa kepada M’sia: Anwar

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Pengurangan hukuman penjara Najib berasas jasa kepada M’sia: Anwar

Feb 05, 2024 | 02:56 PM



Sumbangan Najib Tun Razak kepada negara sebagai mantan Perdana Menteri Keenam Malaysia menjadi antara asas Lembaga Pengampunan memutuskan pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu adalah hak Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah (kini mantan), mengikut peruntukan Perlembagaan selepas mengambil kira inti pati perbincangan dan kaedah yang diperincikan dalam lembaga berkenaan.

“Pertimbangan utamanya adalah soal ihsan, belas kasihan dan apa yang disebut iaitu Agong sebagai mercu keihsanan.

“Proses itu telah mengikut kaedahnya. Apa asas rayuan? Selalunya memikirkan peranan dia, perjalanan hidup dia, keluarga dia, kehidupan di penjara, jasa dan khidmat baik kepada keluarga atau masyarakat dan dalam kes Najib (sumbangannya) kepada negara. Itu semua diberi pertimbangan,” jelas Datuk Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya, pada 5 Februari.

Menyedari bahawa keputusan Lembaga Pengampunan minggu lalu telah mencetus pertikaian meluas serta beberapa pandangan keras daripada banyak pihak, beliau turut menafikan dakwaan diberikan kata dua oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk mendesak pembebasan Najib.

“Tidak ada ugutan dari Datuk Zahid... beliau tak pernah beri kata dua kepada saya. Tetapi ada hak beliau (sebagai Presiden Umno) atau partinya untuk memohon supaya Perdana Menteri dan Lembaga Pengampunan memberi pertimbangan dengan alasan-alasan mereka.

“Saya tidak menafikan sama ada saya suka atau tidak suka, rakan politik atau musuh politik, prinsip keadilan ini harus kita hormati,” katanya.

Datuk Anwar turut menegaskan isu pengurangan hukuman Najib tidak mengurangkan keutamaan kerajaan untuk terus memerangi kegiatan rasuah baik dalam kalangan pemimpin atasan mahupun pegawai di peringkat bawah.

“Pendirian kita (perangi rasuah) tidak berganjak. Tidak ada langsung pendirian untuk berundur daripada perkara ini dan saya tegas untuk selamatkan negara daripada kecurangan pemimpin yang menggeledah kekayaan luar biasa,” katanya.

Beliau turut memohon supaya semua pihak menghentikan pertikaian mengenai keputusan Lembaga Pengampunan dan menghormati keputusan hak dan kuasa Agong dalam memberikan keputusan muktamad berkait pengurangan hukuman Najib.

“Jadi saya harap dengan penjelasan ini kita redakanlah (pertikaian), kerana kita telah terima peruntukan Perlembagaan. Kita tak boleh menuntut penjelasan daripada perkara yang diputuskan Agong. Itu kena faham,” katanya.

Berita Harian pada 2 Februari melaporkan mantan Perdana Menteri Malaysia itu telah diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya, selain pengurangan denda yang perlu dibayar selepas disabitkan kesalahan pada 2022.


Pengurangan hukuman itu diputuskan Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong Ke-16, Sultan Abdullah (kini mantan), sekali gus menyaksikan Najib bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Pada 2022, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ($59.75 juta) selepas didapati salah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >