PASIR MAS (Kelantan): Seorang pengurus premis pajak gadai dan teman lelakinya ditahan selepas dipercayai menjadi dalang rompakan di premis tempat dia bekerja dengan melarikan barang kemas bernilai RM5.7 juta ($1.76 juta), di Pasir Mas, Kelantan, pada 21 Oktober lalu.
Turut ditahan ialah lima pekerja termasuk pengawal keselamatan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Kesemua suspek berusia 26 hingga 66 tahun ditahan menerusi tiga serbuan berasingan di Pasir Mas, Kota Bharu, Kelantan dan Rawang, Selangor.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian rompakan pada 1 tengah hari, 21 Oktober lalu, membabitkan sebuah premis pajak gadai di bandar Pasir Mas.
Katanya suspek seorang lelaki dikatakan menggunakan modus operandi dengan menyembur cecair pembasmi kuman dan mengacukan pisau terhadap pelanggan di premis berkenaan sebelum melarikan 10.9 kilogram barang kemas dalam peti besi bernilai RM5.7 juta.
“Susulan kejadian itu, kita melancarkan operasi pertama di Pasir Mas pada 4 petang hari sama, sebelum menahan empat wanita dan seorang lelaki yang juga pekerja termasuk pengawal keselamatan.
“Susulan itu serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Rawang sebelum menahan seorang lelaki berusia 49 tahun dan merampas dua bilah pisau, cecair pembasmi kuman dan wang tunai.
“Selepas itu, berpandukan kepada tunjuk arah suspek yang ditangkap, kita melakukan operasi di sebuah rumah di Kota Bharu pada 27 Oktober lalu, dan menerusi serbuan berkenaan kita menemui 933 plastik yang mengandungi barang kemas bernilai RM5.7 juta.
“Kita turut menahan seorang wanita yang juga pengurus di premis pajak gadai serta pemilik rumah berkenaan,” katanya pada sidang media, lapor Harian Metro.
Beliau berkata dalang utama kes rompakan berkenaan adalah pengurus pajak gadai berkenaan bersama teman lelakinya.
Katanya pengurus itu sudah bekerja di premis terbabit sejak 17 tahun lalu dengan mengetuai operasi di kedai terbabit memandangkan pemilik premis berada di Terengganu.
“Kejadian ini dirancang pekerja iaitu didalangi pengurus bersama teman lelakinya. Kesemua mereka kini ditahan reman sehingga Khamis.
“Kesemua suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg