Pengusaha dusun di Pontian nikmati ‘durian runtuh’ jelang Raya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengusaha dusun di Pontian nikmati ‘durian runtuh’ jelang Raya

Pelanggan dari S’pura penuhi tempahan inti nanas, lempuk durian untuk buat kuih Raya
Mar 1, 2026 | 5:30 AM

Pengusaha dusun di Pontian nikmati ‘durian runtuh’ jelang Raya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Encik Habib Abdullah, nanas, Ayer Baloi, Pontian, kuih raya johor, lempuk durian asli pontian, tart nanas md2, kek lapis pasir gudang, borong kuih raya singapura, pembekal inti nanas, persiapan raya johor bahru, harga lempuk durian 2026, kerjaya iks johor, produk hiliran durian.
Encik Habib Abdullah memilih nanas MD2 yang baru selesai dituai di gerai miliknya di Ayer Baloi, Pontian. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Setiap kali Ramadan menghampiri penghujungnya, suasana di beberapa kampung dan pekan kecil di Pontian, Johor, mula berubah.

Di dapur rumah, bengkel kecil dan juga di tepi dusun, para pengusaha tempatan sibuk menyiapkan inti nanas, lempuk durian dan pelbagai bahan asas kuih raya bagi memenuhi tempahan yang datang bukan sahaja dari sekitar Johor Bahru, malah dari Singapura.

Bagi mereka, Aidilfitri bukan sekadar musim perayaan, tetapi juga musim paling sibuk kerana sebahagian besar kuih tart yang menghiasi meja warga Singapura sebenarnya bermula daripada tangan masyarakat di daerah itu.

Makan durian di luar musim

Pemilik Ladang SK Durian di Pekan Nenas, Encik Samsul Kamarudin, 53 tahun, berkata permintaan terhadap lempuk durian asli meningkat ketara setiap kali menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Pemilik Ladang SK Durian di Pekan Nenas, Encik Samsul Kamarudin (kiri), bersama kakitangannya menyiapkan lempuk durian yang menjadi permintaan hangat warga Singapura.
Pemilik Ladang SK Durian di Pekan Nenas, Encik Samsul Kamarudin (kiri), bersama kakitangannya menyiapkan lempuk durian yang menjadi permintaan hangat warga Singapura. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Lempuk durian asli saya jual RM70 ($22) sekilogram. Kalau mereka bungkus kecil-kecil, mereka boleh jual sampai RM120 atau RM150 sekilogram.

“Jadi mereka buat pek 100 gram, harga sekitar RM15 atau RM20. Orang lebih senang beli pek kecil sebab kalau sekilo terus, orang rasa mahal,” katanya ketika ditemui Berita Minggu (BM).

Menurut beliau, pelanggan dari Singapura tidak keberatan membeli dalam jumlah yang banyak kerana lempuk durian itu dijadikan bahan asas untuk pelbagai kegunaan.

“Mereka buat kuih, buat bubur durian, buat jem, atau makan begitu sahaja. Bahan ini serbaguna,” ujarnya.

Encik Samsul berkata urusan penghantaran kebiasaannya dibuat di kawasan berhampiran laluan masuk Linkedua Singapura, atau kawasan letak kenderaan pusat beli-belah Angsana Johor Bahru.

“Biasanya mereka beritahu waktu, dalam 8 atau 8.30 malam, saya dah sedia.

“Saya hantar 30 hingga 40 kilogram sekali. Banyak kali juga saya hantar macam ini,” katanya.

Beliau menegaskan lempuk durian yang dihasilkan adalah sepenuhnya asli tanpa bahan pengawet.

“Kami kacau guna sudip kayu. Bahan cuma isi durian dan gula. Tak ada campuran lain. Sebab itu pelanggan percaya dan ulang beli,” katanya.

Bagi mengekalkan rasa semula jadi durian, Encik Samsul berkata isi durian yang segar tidak dicampur dengan bahan lain.
Bagi mengekalkan rasa semula jadi durian, Encik Samsul berkata isi durian yang segar tidak dicampur dengan bahan lain. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Menurut Encik Samsul, dalam sehari beliau mampu menghasilkan sekitar 60 kilogram lempuk durian yang siap dimasak, namun jumlah itu memerlukan hampir 400 kilogram durian mentah.

“Durian kita kopek, buang biji dan simpan dulu. Esok baru kita kacau. Kalau musim puasa, permintaan lebih, jadi kita kacau lebih,” jelasnya.

Beliau berkata durian dikumpulkan lebih awal dan disimpan dalam peti sejuk beku bagi memastikan bekalan mencukupi walaupun di luar musim.

“Sekarang ini bukan musim durian. Tapi kita simpan lebih awal. Bila ada tempahan, kita masak yang baru,” katanya.

Dalam pada itu, pembuat kuih raya dari Pontian, Cik Noor Umiyana Sahidin, 33 tahun, pemilik Oh My Cookies, berkata idea menghasilkan tart durian tercetus daripada keunikan aroma dan rasa durian yang sesuai dijadikan jem.

Pemilik Oh My Cookies, Cik Noor Umiyana menunjukkan kuih tart durian yang sentiasa laris di kalangan warga Singapura.
Pemilik Oh My Cookies, Cik Noor Umiyana menunjukkan kuih tart durian yang sentiasa laris di kalangan warga Singapura. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Durian ini ada peminat tersendiri. Saya olah isi durian asli dan masak berjam-jam sampai jadi jem. Bahan cuma isi durian dan gula. Empat kilogram isi durian hanya boleh hasilkan sekitar 200 biji tart durian,” katanya.

Beliau berkata tart durian dijual pada harga RM35 dan RM47, bergantung kepada saiz dan bilangan di kedai-kedai kuih sekitar Larkin, Johor Bahru.

“Saya sudah tiga tahun berniaga kuih Raya.

“Pada 2026, baru saya ketengahkan tart. Maklum balas pelanggan baik sebab mereka rasa berbaloi dengan bahan yang kita guna dan tiada campuran,” ujarnya.

Menurut Cik Noor Umiyana, ramai pelanggan memilih kuih yang menggunakan jem buatan sendiri berbanding jem siap dibeli.

“Kalau beli jem durian atau nanas siap, rasanya tak sama macam buat sendiri.

“Itu yang pelanggan hargai,” katanya.

Buah manis jadi sandaran

Pengurus Jerman Pine, Encik Mohammad Anal Talhah, 55 tahun, berkata syarikat keluarganya telah mengusahakan ladang nanas selama 34 tahun dan kini memiliki keluasan sekitar 280 hektar, dengan sasaran mencecah 500 hektar menjelang 2027.

Generasi kedua petani nanas, Encik Mohammad Anal Talhah, berkata nanas kecil, bengkok atau terlalu besar sukar dipasarkan dan akan diproses menjadi jus dan inti tart nanas.
Generasi kedua petani nanas, Encik Mohammad Anal Talhah, berkata nanas kecil, bengkok atau terlalu besar sukar dipasarkan dan akan diproses menjadi jus dan inti tart nanas. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Idea memproses nanas datang kerana ada buah yang tidak cantik dari segi bentuk, tetapi masih segar,” katanya.

Beliau berkata nanas yang kecil, bengkok atau terlalu besar sukar dipasarkan sebagai buah segar.

“Daripada biar terbuang, kita proses jadi jus dan inti tart,” katanya.

Menurut Encik Mohammad Anal, daripada 1,000 biji nanas segar, selepas diproses dan dikeringkan, hanya sekitar 60 kilogram inti diperolehi.

“Sebab itu inti mahal dan kita guna untuk produk sendiri. Inti Moris berharga RM35 sekilogram, MD2 RM40 sekilogram,” jelasnya.

Beliau berkata sekitar 35 peratus pelanggan produk tart mereka datang dari Singapura.

“Ada yang datang sendiri, ada yang minta kita hantar,” katanya sambil memaklumkan kuih yang dihasilkan juga dihantar ke bandar Johor Bahru.

Sementara itu, pengasas Amenda Leckers, Cik Faizah Zakaria, 41 tahun, berkata perniagaan kek lapisnya bermula dari rumah, sebelum berkembang menjadi kilang akibat permintaan tinggi, khususnya dari Singapura.

Cik Faizah Zakaria menunjukkan kuih lapis perisa Durian Musang King dan Cempedak Madu keluaran kilangnya di Pasir Gudang, Johor.
Cik Faizah Zakaria menunjukkan kuih lapis perisa Durian Musang King dan Cempedak Madu keluaran kilangnya di Pasir Gudang, Johor. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Saya belajar resipi kek lapis daripada arwah ibu saya, yang merupakan warga Singapura.

“Dari situ, orang Singapura mula kenal dan datang beli,” katanya.

Beliau berkata kini syarikatnya menghantar sekitar 500 hingga 600 biji kek seminggu ke Singapura dan menjangkakan peningkatan sekitar 50 peratus menjelang Aidilfitri.

“Pada bulan puasa, kilang beroperasi 24 jam dengan tiga syif dan sehingga 60 pekerja,” katanya sambil memaklumkan pelanggan kebiasaanya datang terus ke kilang di Pasir Gudang untuk membeli kuih Raya dan kek lapis.

Menurut beliau, bahan seperti durian dan cempedak diperoleh daripada pembekal khusus dan disimpan dalam keadaan beku bagi memastikan bekalan berterusan.

“Kami guna buah yang manis semula jadi. Rasa datang daripada buah itu sendiri,” ujarnya.

Kuih Johor hiasi meja S’pura

Sementara itu, Encik Mohamad Latif Mon, 59 tahun, bersama isterinya Cik Rasidah Bahrom, 51 tahun, dari Tampines berkata mereka hanya membawa sekitar $200 sebagai bajet membeli kuih Raya, namun jumlah itu sudah memadai.

“Kalau di Singapura, tak dapat sebanyak ini,” katanya sambil menunjukkan beberapa bekas kuih tradisional seperti kuih makmur, suji dan tart.

Menurut beliau, pasangan itu lebih gemar kuih tradisional berbanding biskut moden.

Encik Mohamad Latif Mon (kanan), bersama isterinya Cik Rasidah Bahrom, gembira dapat menemukan kuih Raya dan kek lapis di satu lokasi.
Encik Mohamad Latif Mon (kanan), bersama isterinya Cik Rasidah Bahrom, gembira dapat menemukan kuih Raya dan kek lapis di satu lokasi. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Kita cari kuih lama sahaja. Kuih makmur, suji, tart; itu yang biasa kita hidang kepada tetamu,” katanya sambil memaklumkan mereka mengetahui lokasi jualan kuih raya di Johor Bahru melalui saudara-mara serta video di media sosial.

Pasangan itu juga tidak merancang membeli pakaian raya kali ini, sebaliknya menumpukan perbelanjaan kepada makanan untuk keluarga dan jiran.

Menurut Cik Rasidah, hidangan kuih raya penting kerana ia menjadi lambang kemeriahan sambutan.

“Apabila tetamu datang, mesti ada kuih. Walaupun sederhana, yang penting cukup untuk menjamu tetamu,” katanya.

Sementara itu, seorang warga Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Ima, 40 tahun, berkata beliau hampir setiap tahun akan datang ke Johor Bahru untuk membeli persiapan kuih Raya kerana pilihan lebih banyak dan harga lebih berpatutan.

Menurutnya, kek lapis antara juadah wajib keluarganya, khususnya perisa Nutella dan cempedak madu.

“Biasanya mesti ada kek lapis Nutella dan cempedak madu. Saya beli terus di kilang Cik Faizah di Johor Bahru, sekali borong di sana,” katanya.

Beliau berkata selain itu, sebahagian kuih turut dibeli daripada penjual kecil dari rumah di Singapura, namun kebanyakan biskut raya tetap dibeli di Johor kerana kepelbagaian pilihan.

Kepelbagaian pilihan kuih Raya dan harga yang jauh lebih murah merupakan antara faktor yang mendorong warga Singapura berkunjung ke Johor Bahru.
Kepelbagaian pilihan kuih Raya dan harga yang jauh lebih murah merupakan antara faktor yang mendorong warga Singapura berkunjung ke Johor Bahru. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Antara kuih yang sering dibeli termasuk kuih tart, tart Nutella, kerepek pisang, biskut cip coklat dan biskut suji.

“Saya beli di Johor Bahru sebab mata rambang. Saya tahu harganya lebih murah berbanding di Singapura atau Geylang. Harga berbeza-beza, tapi kalau sedap saya tidak kisah bayar,” katanya.

Cik Ima menambah beliau kadangkala turut membakar biskut bersama anak-anak di rumah, namun kebiasaannya memilih untuk membeli siap kerana lebih mudah dan banyak pilihan.

Hakikatnya, kuih Raya yang dinikmati warga Singapura bukan sekadar juadah perayaan, tetapi hasil usaha menghubungkan dusun, ladang dan dapur.

Rasa manis itu membawa bersama kisah kerja keras, tradisi dan rezeki yang dikongsi merentas sempadan.

Pelanggan S’pura borong lempuk durian untuk buat inti kuih

Biasanya mereka beritahu waktu, dalam 8 atau 8.30 malam, saya dah sedia. Saya hantar 30 hingga 40 kilogram sekali. Banyak kali juga saya hantar macam ini.
Encik Samsul Kamarudin, pemilik Ladang SK Durian di Pekan Nenas.
Hantar sekitar 500 hingga 600 kek seminggu ke S’pura

Pada bulan puasa, kilang beroperasi 24 jam dengan tiga syif dan sehingga 60 pekerja.
Cik Faizah Zakaria, pengasas Amenda Leckers.
$200 bajet beli kuih raya di JB

Kalau di Singapura, tak dapat sebanyak ini... Kita cari kuih lama sahaja. Kuih makmur, suji, tart; itu yang biasa kita hidang kepada tetamu.
Encik Mohamad Latif Mon, bersama isterinya Cik Rasidah Bahrom, kededua warga S’pura.
Harga berpatutan, pilihan kuih lebih banyak

Saya beli di Johor Bahru sebab mata rambang. Saya tahu harganya lebih murah berbanding di Singapura atau Geylang. Harga berbeza-beza, tapi kalau sedap saya tidak kisah bayar.
Cik Ima, warga S’pura.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg