Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura ‘serbu’ dusun durian Johor setiap musim raja buah

Kedatangan pengunjung dari S’pura termasuk rombongan yang tiba dengan bas tambah pendapatan peniaga
Jul 13, 2025 | 5:30 AM
musim durian, JB, warga S’pura
Durian jenis Musang King Gred AA yang dihantar ke Singapura setiap hari dari Kampung Tanjung Gading, Muar. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Setiap kali tibanya musim durian antara Jun hingga Ogos, dua dusun utama di daerah Pontian menjadi tumpuan warga Singapura – khususnya ‘hantu durian’ – yang sanggup merentas sempadan demi menikmati keenakan raja buah terus daripada dusun di Johor pada harga jauh lebih rendah.

Bagi pengusaha kebun, kehadiran pelancong dari Singapura bukan sekadar menghidupkan suasana dusun, bahkan turut menyumbang kepada pendapatan keluarga.

Justeru, layanan mesra serta kemudahan selesa menjadi janji setiap pengusaha kepada pelanggan.

Menurut Encik Abdul Hadi Ahmad Sani, 47 tahun, pemilik Dusun Durian Landak, dusunnya seluas enam ekar menempatkan 75 pokok durian pelbagai jenis seperti durian kampung, Landak King, durian kahwin, IOI, D13, Udang Merah dan Musang King.

Encik Abdul Hadi Ahmad Sani, 47 tahun, memilih durian yang baru sahaja dikutip di Dusun Durian Landak, Pontian.
Encik Abdul Hadi Ahmad Sani, 47 tahun, memilih durian yang baru sahaja dikutip di Dusun Durian Landak, Pontian. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Kita ada 10 pekerja yang akan memantau dan mengutip durian daripada 300 pokok setiap hari termasuk dari kawasan pajakan tambahan seluas 50 ekar yang mempunyai lebih 500 pokok durian,” katanya ketika ditemui Berita Minggu (BM).

Tambahnya, hasil kutipan harian pada awal musim boleh mencecah sehingga 1.2 tan sehari dan dijangka meningkat kepada 1.6 tan pada pertengahan musim.

Kira-kira 50 peratus pelanggan yang datang adalah warga Singapura, kebanyakannya menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) atau datang secara berkumpulan menaiki bas.

“Kita turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan pergi-balik dari Bangunan Sultan Iskandar (BSI) khas buat enam orang dalam satu kenderaan. Ini memudahkan warga Singapura yang tidak mahu memandu jauh,” kongsinya.

Beliau berkata harga durian ditawarkan antara RM8 ($2.41) hingga RM50 sekilogram bergantung kepada jenis dan gred buah, namun harga dijangka turun berikutan lambakan buah itu di pasaran.

“Kami pekebun tidak mahu simpan lama-lama, bimbang buah rosak. Jadi kami jual terus kepada pelanggan yang datang,” katanya. Dusun tersebut yang asalnya ladang getah dibuka pada 1940-an, telah mula diubah menjadi dusun durian sejak lebih 30 tahun lalu.

Sementara itu, di Kampung Sungai Burung, Pekan Nenas, Ladang SK Durian milik Encik Samsul Kamarudin, 52 tahun, turut menjadi tarikan pengunjung.

Encik Samsul Kamarudin, 52 tahun (kiri), bersama pengunjung warga Singapura yang membeli buah durian untuk dibawa pulang.
Encik Samsul Kamarudin, 52 tahun (kiri), bersama pengunjung warga Singapura yang membeli buah durian untuk dibawa pulang. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Dusun kami mula diusahakan keluarga sejak 1960 dan kini mempunyai 600 pokok durian di dalam kawasan seluas 10 ekar. Kami dibantu 15 pekerja untuk mengutip buah seawal 7 pagi,” katanya.

Menurut beliau, hasil kutipan awal musim mencecah 600 kilogram dan akan meningkat sehingga satu tan sehari menjelang pertengahan musim. Dusun itu dibuka kepada pengunjung dari 9 pagi hingga 3 petang setiap hari, manakala gerai durian mereka yang terletak di hadapan Masjid Pekan Nenas beroperasi hingga 7 malam.

“Sekitar 90 peratus pelanggan kami adalah dari Singapura manakala selebihnya dari Batam. Setiap minggu kami terima kira-kira lima bas pelancong dari Singapura,” katanya. Harga durian di dusunnya bermula sekitar RM5 sekilogram bergantung kepada gred.

Antara pelanggan warga Singapura adalah Encik Yusuf Abdul Rahman, 65 tahun, dari Bukit Batok, yang buat kali pertama menyertai lawatan ke dusun di kampung.

“Isteri saya yang sarankan. Biasanya kami ikut ejen pelancongan, tapi kali ini pengalaman masuk ke kampung, tengok sendiri pokok durian dan makan bawah pondok – sungguh berbeza. Walaupun durian kampung kecil, isinya padat, kuning, manis dan memuaskan,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Encik Zaini Azad Yahya, 60 tahun, dari Geylang, yang mengetuai Rombongan Jelajah Ibadah, berkata destinasi pilihan mereka ialah Ladang SK Durian kerana lokasinya mudah diakses dan kemudahan tempat letak kenderaan yang luas.

 Encik Zaini Azad Yahya, 60 tahun, dari Geylang.
 Encik Zaini Azad Yahya, 60 tahun, dari Geylang. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Kami sudah tiga kali ke sini tahun 2025. Dusunnya betul-betul di tepi jalan. Yang penting, mereka sediakan durian kampung secara free flow, sesuai bagi warga emas kerana ia tidak terlalu berangin,” katanya.

Bagi pasangan warga Yishun, Cik Zahimah Akiak, 59 tahun, dan suaminya, Encik Ahmed Samin, 61 tahun, pengalaman ke Dusun Durian Landak bukan sekadar menjamu selera, malah menikmati suasana perkampungan.

Pasangan warga Yishun, Cik Zahimah Akiak, 59 tahun, dan suaminya, Encik Ahmed Samin, 61 tahun.
Pasangan warga Yishun, Cik Zahimah Akiak, 59 tahun, dan suaminya, Encik Ahmed Samin, 61 tahun. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Kami dapat tahu mengenai tempat ini melalui Facebook pada 2024. Sekali cuba, kami terus jatuh hati. Kebersihan terjaga, ada kemudahan tandas, surau dan inap desa. Kalau durian tak elok pun, mereka terus tukar tanpa banyak soal,” kata Cik Zahimah.

Selain pelancongan dusun, Johor juga menjadi pusat utama pengumpulan dan eksport durian ke luar negara.

Di Kampung Tanjung Gading, Muar, pusat pengumpulan durian yang dikendalikan Diamond International Sdn Bhd, yang diketuai Encik Vincent Poh, kini mengumpul sehingga 20 tan durian setiap hari dari sekitar Jementah, Pagoh dan Tangkak.

“Kami eksport ke Singapura, China, Indonesia dan Hong Kong. Setiap hari, sekitar lima tan dihantar ke Singapura pada sebelah pagi dan tiba menjelang tengah hari,” katanya. Durian gred A seperti Black Thorn, Musang King dan IOI dihantar ke luar negara, manakala gred B ke bawah dipasarkan secara tempatan.

Beliau berkata syarikatnya yang beroperasi sejak tujuh tahun lalu mula berniaga durian secara kecil-kecilan di tepi jalan dengan hanya tiga pokok sebelum berkembang hasil kerjasama pekebun lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serom, memuji inisiatif pengusaha tempatan yang berjaya mengembangkan perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail, bersama Pengarah Urusan Diamond International Sdn Bhd, Encik Vincent Poh, menunjukkan durian jenis Musang King yang dihantar ke Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail, bersama Pengarah Urusan Diamond International Sdn Bhd, Encik Vincent Poh, menunjukkan durian jenis Musang King yang dihantar ke Singapura. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Mereka ini bermula dari kecil dan berani mengambil langkah mengumpulkan hasil dari seluruh daerah Muar. Kerajaan negeri perlu beri galakan dan sokongan kepada mereka yang minat ceburi bidang ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg