Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengusaha kenderaan sewa khas rentas sempadan JB–SG terjejas teruk

Aug 15, 2025 | 4:26 PM
rentas, JB-SG
Ahli Parlimen (AP) Tebrau, Encik Jimmy Puah Wee Tse (tengah) menerima surat bantahan daripada Timbalan Pengerusi Persatuan Kenderaan Sewa Persendirian Selatan, Encik Peter Lim (dua dari kanan), di Pejabat Ahli Parlimen Tebrau. - Foto FACEBOOK JIMMY PUAH

Industri perkhidmatan kenderaan sewa khas rentas sempadan Johor–Singapura, yang telah beroperasi selama lebih setengah abad, kini berdepan cabaran kelangsungan selepas pihak Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mempertingkatkan penguatkuasaan, sekali gus memberi kesan kepada ribuan pengusaha berlesen.

Ahli Parlimen (AP) Tebrau, Encik Jimmy Puah Wee Tse, berkata perkara itu dibangkitkan kepadanya oleh pengusaha kenderaan sewa khas dan agensi pelancongan daripada Persatuan Kenderaan Sewa Persendirian Selatan semasa pertemuan pada 15 Ogos.

Menurutnya, perbincangan tersebut banyak menyentuh tentang kebimbangan pengusaha sama ada mampu mengekalkan operasi dalam keadaan semasa, berbanding membincangkan peluang untuk mengembangkan perniagaan.

“Industri ini telah menjadi sumber rezeki kepada ribuan keluarga sejak sekian lama.

“Namun, selepas LTA menerima maklumat mengenai kenderaan persendirian dari Malaysia yang menawarkan perkhidmatan jemputan dan penghantaran di dalam Singapura, termasuk tempahan perjalanan dalam bandar melalui platform tertentu, pihak berkuasa republik berkenaan telah mempertingkat usaha penguatkuasaan,” katanya.

“Kejadian seperti ini mula dikesan pada akhir 2024 sebelum tindakan lebih ketat diambil,” katanya dalam satu kenyataan pada 15 Ogos.

Menurut beliau, bermula April 2025, pihak berkuasa Singapura bukan sahaja mengambil tindakan terhadap kenderaan persendirian yang beroperasi tanpa kebenaran, malah turut mengenakan sekatan ke atas bas pelancongan di bawah agensi pelancongan berlesen daripada menawarkan perkhidmatan sewa khas di negara tersebut.

Beliau berkata, pendekatan bersepadu itu walau bertujuan memperkemas penguatkuasaan, telah memberi kesan kepada sebahagian pengusaha berlesen yang selama ini mematuhi sepenuhnya peraturan pengangkutan rentas sempadan, sehingga ada yang terpaksa menggantung sementara operasi mereka.

“Sebelum ini, kenderaan pelancongan beroperasi seiring dengan pakej pelancongan, menyediakan perkhidmatan ulang-alik rentas sempadan serta atur cara perjalanan untuk pelancong.

“Dengan perubahan dasar baru, operasi mereka turut terkesan seperti pengusaha yang tidak berlesen,” ujarnya.

Beliau menambah, di Johor Bahru dan Kulai sahaja dianggarkan terdapat sekitar 2,000 kenderaan sewa khas melibatkan sekurang-kurangnya 4,500 pemandu, yang selama ini menjadi sebahagian penting dalam menyokong sektor pelancongan dan perkhidmatan pengangkutan di kawasan tersebut.

Encik Puah memaklumkan bahawa pada 2025 sahaja, sekitar 120 buah kenderaan telah disita di Singapura, sesuatu yang memberi cabaran besar kepada para pengusaha.

Beliau menekankan bahawa antara pihak yang paling terkesan ialah agensi pelancongan berlesen yang sentiasa mematuhi peraturan, memiliki kenderaan berdaftar, menjalani pemeriksaan berkala, serta menggaji pemandu yang layak dan terlatih bukannya semata-mata pengendali kenderaan persendirian tanpa kebenaran.

“Dalam situasi sekarang, pengusaha sah turut terkesan sama seperti pihak yang melanggar undang-undang, sehingga ada yang hilang kelayakan untuk meneruskan operasi.

“Keadaan ini sedikit sebanyak menjejas daya saing mereka dan memberi tekanan kepada syarikat yang selama ini beroperasi dengan penuh integriti,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg