JOHOR BAHRU: Peniaga bazar Ramadan di Johor Bahru akan mengurangkan saiz hidangan makanan yang dijual sebagai cara untuk menangani aduan pelanggan mengenai harga makanan yang semakin meningkat berikutan kos operasi yang lebih tinggi.
Encik Md Izam Ibrahim, seorang peniaga berkata, untuk memastikan perniagaannya terus berjalan, beliau terpaksa mengurangkan saiz hidangan makanan dan minuman.
“Saya tidak akan menaikkan harga, tetapi saya terpaksa mengurangkan saiz hidangan kerana itu satu-satunya cara untuk saya bertahan,” katanya.
“Terdapat harapan bahawa makanan harus dijual dengan harga yang sangat rendah di bazar Ramadan, tetapi kami tidak dapat melakukannya lagi kerana kos hidup yang semakin meningkat.”
Peniaga berusia 45 tahun itu akan menjual minuman dan nasi ayam di bazar Ramadan di Pasir Gudang.
Cik Fatimah Sarudin, seorang peniaga, 36 tahun, yang menjual cempedak goreng, berkata beliau akan memberi lebih banyak pilihan saiz hidangan kepada pelanggan supaya mereka boleh memilih yang sesuai dengan bajet mereka.
“Selain harga bahan mentah yang meningkat, kos menyewa gerai di bazar Ramadan juga meningkat dengan ketara. Ini juga menyumbang kepada harga makanan yang lebih tinggi,” tambah beliau yang bercadang membuka gerai di bazar Ramadan di kawasan taman Tampoi,
“Kami tidak dapat menawarkan kuantiti makanan yang sama pada harga yang sama. Kebanyakan pelanggan saya memahami kesukaran ini, tetapi ada yang mengeluh tentang kenaikan harga.
“Yang boleh saya lakukan adalah menawarkan pilihan saiz hidangan yang lebih kecil.”
Dalam pada itu, Encik Md Izam, yang juga seorang penganjur bazar Ramadan, menambah bahawa beliau akan memantau peniaga untuk memastikan mereka mengekalkan kebersihan.
“Saya percaya kebanyakan peniaga mengambil berat tentang kebersihan kerana mereka tahu mereka boleh didenda jika gagal menjaga kebersihan dengan betul,” katanya.
Cik Fatimah berkata beliau juga sangat mengambil berat tentang kebersihan kerana ia menjejaskan kepercayaan orang ramai.
“Saya rasa kebersihan sangat penting bagi semua peniaga kerana satu kesilapan boleh merosakkan reputasi mereka dan menghakis kepercayaan orang ramai.
“Walaupun aduan datang dari bazar yang berbeza atau dari negeri lain, ia memberi kesan kepada kita semua. Orang ramai akan kehilangan keyakinan terhadap peniaga bazar Ramadan secara keseluruhan,” katanya, sambil menambah bahawa beliau berharap semua peniaga memantau kebersihan dengan teliti.
Beliau berkata langkah kebersihannya termasuk memastikan semua bahan yang digunakan adalah segar dan dibersihkan dengan sempurna. - THE STAR/ASIA NEWS NETWORK


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg