JOHOR BAHRU: Musim hujan yang berlarutan di selatan Malaysia terutama di Johor, mendorong peniaga negeri itu melanjutkan waktu operasi perniagaan untuk memudahkan pelanggan membeli belah menjelang sambutan Tahun Baru Cina.
Langkah melanjutkan waktu operasi perniagaan hingga tengah malam, berbanding kebiasaan 8 malam, dibuat berikutan musim hujan menyebabkan pelanggan tidak dapat keluar rumah untuk berbelanja.
Peniaga, Cik Jayden Ng, 30 tahun, yang menguruskan kedai borong biskut di Taman Sri Tebrau, Johor Bahru, berkata kedainya mula melanjutkan operasi tambahan selama empat jam sejak dua minggu lalu.
“Orang ramai mengelak beli-belah ketika waktu hujan lebat. Walaupun kami masih menikmati jualan yang baik untuk Tahun Baru Cina, jumlah pelanggan yang datang agak merosot sejak musim hujan bermula.
“Bagi mengatasi perkara ini, kami memutuskan untuk melanjutkan waktu perniagaan yang asalnya bermula dari 8 pagi hingga 8 malam kepada 8 pagi hingga tengah malam sekarang,” kata Cik Ng ketika ditemui di kedainya, lapor The Star.
Beliau berkata langkah melanjutkan waktu perniagaan membantu meningkatkan jualan kedainya yang juga menjual hiasan perayaan.
“Ramai pelanggan Singapura kami lebih suka membeli-belah pada waktu malam untuk mengelak daripada terperangkap dalam lalu lintas kerana kebanyakan mereka membeli-belah di sini pada hujung minggu,” tambah Cik Ng.
Cik Eva Wong, 48 tahun, yang mengusahakan kedai menjual hiasan dan bahan jahitan, berkata beliau melanjutkan waktu kerjanya hingga 10 malam untuk menarik lebih ramai pelanggan.
“Kami biasanya tutup pada 8 malam, tetapi kira-kira sebulan sebelum Tahun Baru Cina, kami memutuskan untuk terus beroperasi hingga 10 malam bagi memenuhi permintaan musim perayaan.
“Ini adalah perkara yang sering kami lakukan semasa perayaan besar, bukan hanya kerana hujan. Bagaimanapun, ia telah membantu mengimbangi kesan akibat cuaca hujan kerana orang ramai boleh membeli belah selepas hujan berhenti,” katanya.
Peniaga kedai bunga, Cik Susan Choong, 35 tahun, berkata beliau tetap membuka kedainya selagi ada pelanggan, walaupun tidak melanjutkan waktu operasi secara rasmi sebagaimana peniaga lain.
“Kedai saya selalunya tutup pada 8 malam, tetapi saya tetap buka lebih masa jika masih ramai datang membeli bunga,” katanya.
Beliau berkata walaupun membeli-belah lewat malam jarang berlaku, cuaca hujan yang berterusan dan Tahun Baru Cina yang semakin hampir telah menyebabkan lebih ramai pelanggan memilih untuk datang pada waktu malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg