JOHOR BAHRU: Pelanggan kedai makan di Johor mungkin perlu membayar harga lebih mahal dalam tempoh terdekat apabila pengusaha restoran dan gerai mula rasai tekanan kewangan susulan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.

Pengusaha makanan memberi amaran kenaikan harga mungkin berlaku dalam beberapa minggu akan datang sekiranya kos operasi terus meningkat akibat ketidaktentuan sejagat.

Seorang pengusaha gerai sarapan India tradisional di Kulai, Cik R. Janaki, 42 tahun, berkata beliau mungkin terpaksa menaikkan sedikit harga bagi memastikan perniagaannya dapat terus bertahan.

“Buat masa ini, kami masih mengekalkan harga yang sedia ada kerana masih mampu menampung kos walaupun sudah mula rasai tekanan kewangan akibat konflik itu,” katanya.

Menurutnya, kenaikan paling ketara ketika ini melibatkan harga barangan plastik, manakala harga bahan mentah masih kekal stabil, lapor The Star.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan kos akan terus meningkat dan akhirnya pelarasan harga perlu dibuat untuk kami terus bertahan,” katanya.

Selain kos bekalan yang semakin meningkat, Cik Janaki berkata pengusaha makanan turut terkesan dengan perubahan kos bahan api.

“Pengurangan subsidi RON95 kepada had 200 liter memberi kesan besar kepada kami.

“Kami kini perlu membelanjakan lebih banyak wang untuk bahan api tambahan dan ini meningkatkan kos operasi,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya masih belum membeli bekalan bahan mentah baharu dalam tempoh seminggu lalu dan sedang menunggu untuk melihat sejauh manakah kenaikan harga berlaku.

“Kami akan memantau keadaan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai sebarang perubahan harga,” katanya.

Seorang lagi pengusaha restoran, Encik Phua Kai Hoo, 39 tahun, yang menguruskan lima restoran di Kulai dan Johor Bahru, berkata semakan harga hampir tidak dapat dielakkan.

“Kami masih belum menaikkan harga kerana kos barangan runcit secara keseluruhannya masih tidak banyak berubah kecuali plastik, makanan laut dan minyak masak.

“Namun saya percaya kita tidak dapat mengelakkannya. Lambat-laun, kita tidak ada pilihan selain menyesuaikan harga menu.

“Sebarang kenaikan mungkin tidak terlalu besar, mungkin hanya beberapa sen sahaja kerana kami tidak mahu kehilangan pelanggan.

“Kami menjangkakan perubahan ini akan menjadi lebih ketara menjelang Mei,” katanya.

Berbeza pula dengan seorang pengusaha gerai asam pedas, Cik Wan Noraidah Wan Mohamed, 53 tahun, yang berkata beliau akan mencari rancangan gantian lain sebelum menaikkan harga makanan.

Menaikkan harga hanya akan dilakukan sebagai pilihan terakhir, ujar beliau.

“Saya akan cuba cara lain terlebih dahulu seperti mengurangkan saiz hidangan pada harga sama atau menggunakan bahan lebih murah seperti telur gred C, berbanding telur gred B.

“Buat masa ini, bahan mentah yang saya gunakan masih belum terjejas, tetapi tindakan saya bergantung sepenuhnya kepada sejauh mana keadaan ini akan menjadi lebih buruk dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.