Topic followed successfully
Go to BHkuPilihan Raya Negeri Johor, Melaka diusul ditangguh kerana krisis Timur Tengah
Pilihan Raya Negeri Johor, Melaka diusul ditangguh kerana krisis Timur Tengah
Ahmad Maslan: Pilihan raya tak wajar diadakan sedang rakyat dihimpit kesusahan
Pilihan Raya Negeri Johor, Melaka diusul ditangguh kerana krisis Timur Tengah
KULAI (Johor): Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, bercadang membawa usul menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.
Usul ini timbul susulan krisis geopolitik Asia Barat yang menimbulkan ketidakpastian.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berpendapat, tidak wajar pilihan raya diadakan ketika geopolitik serba tidak menentu, apatah lagi rakyat sedang dihimpit kesusahan.
Cadangan tersebut, katanya, akan diangkat ke Mesyuarat MKT Umno di Melaka pada 17 April lapor Berita Harian Malaysia.
“Secara logik politik, melihat ketidaktentuan di luar dan kesukaran yang melanda rakyat kini, mungkin tidak akan ada PRN minggu depan.
“Tidak perlu mesyuarat besar untuk menyatakan ini; ia logik politik. Ketika geopolitik sukar, masalah harga barang membelenggu, masakan kita mahu mengadakan pilihan raya?
“Justeru, saya syorkan agar pilihan raya diadakan hanya setelah masalah selesai, agar kita dapat mengundi dengan tenang. Selagi keadaan tidak tenteram, tarikh PRN Melaka dan Johor perlu dipertimbangkan secara paling strategik,” tegasnya.
Timbalan Menteri Kerja Raya itu menyatakannya dalam sidang media selepas lawatan kerja rasmi ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulai pada 13 April.
Datuk Ahmad, Ahli Parlimen Pontian, turut mengusulkan kepada MKT agar PRN kedua-dua negeri itu diadakan serentak, langkah yang diyakini mampu menjimatkan kos.
Dalam perkembangan senada, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, menyambut baik cadangan penangguhan PRN Johor dan Melaka.
Tindakan ini, katanya, penting demi menjamin kestabilan politik yang lebih mampan, sekali gus mengelakkan kitaran pilihan raya yang terlalu kerap.
Beliau melihat usul Datuk Ahmad sebagai pendekatan pragmatik, terutama dalam situasi kini yang menuntut kerajaan untuk fokus penuh kepada isu ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Cadangan ini vital bagi memastikan pentadbiran kerajaan tidak terganggu oleh pilihan raya yang berulang-ulang, membolehkan tumpuan disalurkan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Sheikh Umar percaya penyelarasan PRN secara serentak berpotensi mengurangkan kos awam dan meningkatkan kecekapan pengurusan pilihan raya.
Namun, beliau menekankan bahawa sebarang keputusan penangguhan perlu berlandaskan Perlembagaan, mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan, dan menjunjung prinsip demokrasi matang.
Senada dengan pandangan itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Encik Faezuddin Puad, menyatakan bahawa tiada keperluan mendesak untuk mengadakan PRN Johor dalam masa terdekat.
“Kita wajib peka dan sensitif terhadap bebanan yang dipikul rakyat, terutamanya berkaitan kos sara hidup dan kos pergerakan yang semakin membebankan,” tegasnya.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan kos yang mungkin menghalang sebahagian rakyat daripada keluar mengundi, dan seterusnya mencacatkan representasi suara majoriti yang sebenar.
“PRN Johor 2022, yang berlangsung semasa pandemik, hanya mencatatkan 54.92 peratus peratusan keluar mengundi. Ini jelas menunjukkan faktor semasa amat mempengaruhi penyertaan rakyat,” ulasnya.
PRN Johor telah berlangsung pada Mac 2022 dan mandat kerajaan negeri dijangka berakhir pada Mac 2027, manakala PRN Melaka diadakan pada November 2021 dan mandatnya akan tamat pada akhir 2026.

