Topik diikuti
Pergi ke BHkuHampir RM30j lebur separuh pertama 2026 dek kod QR palsu
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial: Bukan lagi penipuan terpencil, lebih 5,000 diperdaya, Selangor catat jumlah kes tertinggi, diikuti Johor dan Kuala Lumpur
PETALING JAYA: Lebih 5,000 kes penipuan kod QR telah direkodkan di Malaysia dari Januari hingga Jun 2026, mencatat kerugian mencecah hampir RM30 juta ($9.4 juta).
Taktik penipuan pancingan data kod QR yang turut dikenali sebagai quishing telah meningkat secara mendadak sejak 2023, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa.
“Peningkatan ketara ini menunjukkan bahawa kod QR semakin dieksploitasi oleh sindiket sebagai medium untuk menyembunyikan pautan berniat jahat, mengalihkan pembayaran dan memperdaya mangsa supaya menyerahkan maklumat perbankan atau meluluskan urus niaga tanpa menyedari tujuan sebenarnya.
“Quishing merupakan satu bentuk phishing (pancingan data) yang menggunakan kod QR untuk membawa mangsa ke laman web, gerbang pembayaran atau aplikasi palsu.
“Trend ini menunjukkan bahawa kod QR tidak lagi sekadar digunakan sebagai alat pembayaran yang mudah, sebaliknya ia semakin dieksploitasi sebagai medium untuk pelbagai penipuan dalam talian,” kata Datuk Rusdi kepada The Star.
Sebanyak 223 kes penipuan kod QR telah direkodkan pada 2023, yang melibatkan kerugian bernilai RM4.59 juta.
Jumlah kes meningkat kepada 655 pada 2024, dengan kerugian sebanyak RM6.76 juta, kata Datuk Rusdi.
“Namun, lonjakan sebenar berlaku pada tahun lalu (2025) apabila jumlah kes meningkat lebih lapan kali ganda kepada 5,907, manakala kerugian meningkat hampir enam kali ganda kepada RM40.85 juta,” jelasnya.
Pada 2026, jumlah kes yang direkodkan antara Januari dengan Jun mencecah 5,134 kes dengan kerugian berjumlah RM28.67 juta.
Datuk Rusdi berkata penipuan kod QR bukan lagi satu bentuk penipuan terpencil, dengan sindiket kini memanfaatkan teknologi tersebut untuk melaksanakan pelbagai jenis penipuan dalam talian.
Selangor mencatat jumlah kes tertinggi, diikuti Johor dan Kuala Lumpur.
Menurut Datuk Rusdi, jumlah tersebut berkait rapat dengan bilangan pengguna urus niaga digital, kegiatan e-dagang serta kemudahan pembayaran tanpa tunai yang tinggi di kawasan berkenaan.
“Secara keseluruhan, sebanyak 11,919 kes penipuan kod QR melibatkan kerugian RM80.86 juta telah direkodkan antara Januari 2023 dengan Jun 2026,” katanya.
Beliau menambah, setiap laporan yang diterima telah disiasat mengikut keadaan kes serta undang-undang berkaitan.
“Siasatan bukan sekadar tertumpu kepada individu yang mencipta atau mengedarkan kod QR, malah merangkumi keseluruhan rantaian jenayah, termasuk menjejak aliran wang, mengenal pasti akaun penerima serta menyiasat akaun keldai.
“Siasatan juga merangkumi pemeriksaan peranti dan bukti digital, menjejak nombor telefon, alamat laman web dan akaun media sosial, di samping bekerjasama dengan institusi kewangan, penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta agensi berkaitan,” jelas Datuk Rusdi.
Menurutnya, akaun keldai memainkan peranan utama dalam membolehkan sindiket menerima dan memindahkan wang hasil kegiatan penipuan.
Pemegang akaun yang sengaja menjual, menyewa, menyerah atau membenarkan akaun mereka digunakan untuk menerima wang haram juga boleh disiasat, bergantung kepada kadar penglibatan mereka serta bukti yang diperoleh.
“Jika terdapat bukti yang mencukupi, tindakan pendakwaan akan diambil tanpa mengira sama ada individu berkenaan merupakan dalang, pengendali laman web palsu, pemilik akaun penerima mahupun pembantu sindiket itu,” katanya.
Datuk Rusdi menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada sebelum mengimbas mana-mana kod QR, terutamanya kod yang dihantar oleh individu yang tidak dikenali atau disertai dengan permintaan mendesak bagi pembayaran, pemulangan wang, hadiah atau pengesahan akaun. – Agensi berita.
