Enam rangkaian pembayaran nasional dari lima negara Asean telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dalam usaha menubuhkan badan standard sejagat yang sama bagi pembayaran runcit segera tanpa kad.
Perjanjian tersebut dinamakan, ‘George Town Accord’, sempena nama bandar di Malaysia tempat berlangsungnya majlis penandatanganan MOU itu pada 9 Oktober.
Kerjasama tersebut menandakan permulaan bagi projek, ‘Next50’, yang bertujuan menetapkan satu pelan hala tuju untuk 50 tahun akan datang dalam inovasi pembayaran di Singapura, Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Filipina.
Rangkaian tersebut melibatkan Payments Network Malaysia (PayNet); Network for Electronic Transfers (Nets) Singapura; National Payment Corporation of Vietnam (Napas); BancNet Philippines; dan Artajasa serta Rintis Indonesia.
Pelan itu akan merangkumi pembayaran menggunakan kod respons pantas (QR), pemindahan akaun ke akaun, dompet elektronik, serta kaedah pembayaran digital mudah alih lain yang menggunakan Perhubungan Jarak Dekat (NFC), biometrik, dan ejen kecerdasan buatan (AI).
Dengan menghubungkan rangkaian pembayaran domestik peringkat sejagat, perjanjian yang dimeterai itu bertujuan memupuk rangkuman dan inovasi kewangan yang lebih besar, di samping menghormati kedaulatan pembayaran setiap negara.
Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Nets pada 16 Oktober.
“Pemeteraian MOU ini merupakan satu langkah ke hadapan dalam perjalanan Asean menuju ke arah kesalinghubungan dan keupayaan saling kendali pembayaran yang lancar.
“Kerjasama ini bukan sahaja akan memudahkan urus niaga rentas sempadan bagi pengguna dan perniagaan, bahkan juga akan mengukuhkan ekonomi digital serantau,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nets, Encik Lawrence Chan.
Dalam pada itu, tumpuan segera projek ‘Next50’ pada peringkat awal adalah untuk memperkemas standard dan protokol teknikal dan operasi.
Bidang keutamaan termasuk penyelesaian pertikaian, pencegahan penipuan dan pengendalian penipuan, dengan menetapkan asas bagi ekosistem pembayaran sejagat yang lebih selamat dan bersatu.
Presiden Pengarah Artajasa, Encik Armand Hermawan, berkata: “Kerjasama ini satu langkah penting dan strategik untuk memperkukuh ekonomi digital bagi setiap negara dan rantau ini. Kami bersedia menyokong proses pelaksanaannya, memandangkan potensi besar dalam urus niaga pembayaran rentas sempadan pada masa hadapan, dengan mengambil kira peraturan sistem pembayaran yang berkenaan di Indonesia.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg