Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Empat Datuk antara 8 disyaki dalang Skim Ponzi ditahan

PDRM rampas dan bekukan pelbagai aset bernilai RM3.1b
Apr 11, 2025 | 3:42 PM
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain.
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan individu termasuk dua usahawan dan dua peguam bergelar Datuk menerusi satu operasi pada Mac lalu, serta merampas dan membekukan pelbagai aset bernilai RM3.1 bilion ($940 juta).

Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kesemua mereka dipercayai berkait rapat dengan skim pelaburan tipu jenis Skim Ponzi atau dikenali sebagai pelaburan MBI yang berpusat di negara jiran.

Dalam satu kenyataan pada 11 April, beliau memaklumkan PDRM menerusi Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla), Urus Setia Ketua Polis Negara, Bukit Aman telah membuat tangkapan dan serbuan pada 20 Mac lalu.

Tangkapan itu hasil maklumat ‘Notis Merah’ daripada Interpol.

Seramai lapan suspek warga tempatan termasuk seorang wanita berusia antara 44 hingga 62 tahun ditahan dalam operasi yang dipanggil Op Northern Star.

Menerusi beberapa siri serbuan, pasukan Amla berjaya melakukan pembekuan dan penyitaan aset di bawah Seksyen 44(1) dan Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001, lapor Buletin TV3.

Antara aset dirampas dan dibekukan termasuk 638 akaun bank dan akaun saham berjumlah RM1.16 bilion; 35 unit hartanah bernilai RM2 bilion; 10 kenderaan mewah; 12 jam tangan mewah dan mata wang asing pelbagai negara serta Ringgit Malaysia.

Turut dirampas barang kemas, telefon bimbit, komputer riba beg tangan mewah dan pelbagai dokumen penting.

Tambah Tan Sri Razarudin, semua harta dan barang disita dipercayai hasil perolehan haram berkaitan aktiviti penipuan pelaburan itu.

PDRM katanya akan meneruskan siasatan terhadap mana-mana individu atau entiti yang disyaki terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memperoleh, menerima, memiliki hasil perolehan haram daripada aktiviti penipuan pelaburan berkenaan.

“Dalam usaha membanteras jenayah pengubahan wang haram di Malaysia, PDRM menasihatkan masyarakat agar berwaspada dengan sebarang aktiviti mencurigakan.

“Sila tampil bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah ini,” ujar Tan Sri Razarudin.

Pada Mac lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata kes penipuan membabitkan pelaburan tidak wujud merekodkan peningkatan, dengan kerugian dialami mangsa mencecah RM850 juta sepanjang 2024.

Ia sebahagian daripada RM3.1 bilion nilai kerugian direkodkan akibat jenayah komersial di seluruh Malaysia sepanjang 2024, membabitkan 41,701 kertas siasatan yang dibuka dalam tempoh berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg