Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penipuan sewa hartanah libat curi identiti melonjak lebih 400% di M’sia

Jan 12, 2026 | 2:29 PM
Penipuan, hartanah, curi identiti, M’sia
Sejumlah RM2.5 juta jumlah kerugian direkodkan pada 2025 akibat kes penipuan sewaan hartanah yang melonjak 400 peratus kepada lebih 900 kes. - Foto fail NSTP

PETALING JAYA: Kes penipuan sewa hartanah yang menggunakan kecurian identiti di Malaysia melonjak tinggi, daripada 184 kes pada 2023 kepada lebih 900 kes pada 2025 – kadar lonjakan lebih 400 peratus dalam tempoh hanya tiga tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata modus operandi utama adalah penggunaan profil atau akaun palsu yang menyamar sebagai ejen hartanah atau pemilik rumah, seterusnya mengiklankan unit sewaan pada harga umpan yang terlalu rendah.

“Pada 2023, 184 kes direkodkan, diikuti 307 kes pada 2024 dan 922 kes pada 2025.

“Daripada kerugian berjumlah RM396,246 ($125,368) pada 2023, jumlah itu meningkat kepada RM835,367 pada 2024 dan sekitar RM2.5 juta pada 2025,” katanya, sambil menambah 245 individu juga telah ditahan sejak 2023, lapor The Star.

Datuk Rusdi menjelaskan dalam kebanyakan kes, mangsa bukan saja ditipu menerusi wang deposit bagi hartanah yang tidak wujud, malah identiti mereka turut dicuri dan disalahguna berulang kali sehingga menimbulkan masalah perundangan yang berpanjangan.

“Penipu biasanya berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp, Telegram dan mesej langsung (DM) di media sosial, memberi tekanan kepada mangsa untuk membuat pembayaran awal atau deposit dengan alasan jumlah unit terhad.

“Mereka mengelak daripada pertemuan fizikal atau lawatan hartanah dengan memberikan pelbagai alasan,” katanya.

Datuk Rusdi berkata sindiket mengambil kesempatan ke atas kewujudan pelbagai platform media sosial dan aplikasi baru kerana jangkauannya yang luas, kos rendah dan sukar dikesan.

“Modus operandi telah berubah daripada laman web iklan statik kepada komunikasi yang lebih pantas, peribadi dan bersiri melalui aplikasi pesanan.

“Kami juga mengesan trend penipuan identiti digital yang pantas, termasuk pertukaran nombor telefon dan akaun bank, penggunaan akaun media sosial sementara serta pusingan akaun orang tengah bagi mengelak dikesan,” katanya.

Datuk Rusdi turut mendedahkan bahawa suspek skim sewaan palsu ini menggunakan skrip automatik menyerupai chatbot, serta rakaman suara dan video pendek untuk meningkatkan kredibiliti.

“Bagaimanapun, penggunaan meluas teknologi deepfake dalam skim sedemikian adalah terhad dan sentiasa dipantau oleh kami,” tambah beliau.

Beliau berkata jabatan itu memberi tumpuan untuk membendung jenayah ini secara berkesan, menyiasat kes di bawah peruntukan undang-undang berkaitan, serta menjalinkan kerjasama strategik dengan platform media sosial, institusi kewangan dan agensi berkaitan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg