Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia digesa ikut langkah S’pura kuat kuasa sebatan untuk penipu

Jan 9, 2026 | 2:54 PM
Sebat, penipu, Singapura
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Encik Mohideen Abdul Kader. - Foto fail JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Pakar menggesa Malaysia mempertimbangkan hukuman lebih tegas, termasuk sebatan seperti yang diperkenalkan oleh Singapura baru-baru ini, bagi membendung jenayah penipuan, terutama yang melibatkan penyalahgunaan akaun bank.

Namun, mereka menegaskan bahawa hukuman lebih berat perlu disertai kawalan kewangan yang lebih ketat, akauntabiliti institusi serta penguatkuasaan rentas sempadan bagi menangani penipuan dengan berkesan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Encik Mohideen Abdul Kader, berkata Malaysia wajar mencontohi langkah Singapura yang mengenakan sebatan terhadap penipu, sambil menegaskan bahawa walaupun kesannya akan dirasai oleh mangsa keldai wang, ini adalah langkah berkesan menghalang jenayah penipuan.

“Menjatuhkan hukuman sebatan terhadap keldai akaun akan menghalang individu daripada membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk tujuan selain diri sendiri.

“Penting untuk orang ramai memahami bahawa akaun bank adalah untuk kegunaan peribadi sahaja dan sebarang penyalahgunaan tidak boleh diterima,” katanya, lapor The Star.

Encik Mohideen menambah, satu akaun keldai boleh dikaitkan dengan jumlah mangsa penipuan yang banyak, dan sindiket luar negara akan menghadapi kesukaran mengendalikan operasi rentas sempadan tanpa akses kepada akaun tempatan untuk memindahkan dana.

Pada Oktober 2024, Singapura telah meluluskan pindaan kepada undang-undang jenayah yang mewajibkan sebatan bagi penipu dan membenarkan sebatan atas budi bicara bagi keldai akaun yang terlibat dalam penipuan.

Penipu dan anggota sindiket penipuan akan dikenakan minimum enam sebatan dan maksimum 24 sebatan dengan rotan mandatori, manakala keldai skim penipuan akan dikenakan rotan mengikut budi bicara atau discretionary caning sehingga 12 sebatan.

Pesalah bagi penipuan tradisional, misalnya pemalsuan akaun, turut akan dikenakan rotan mengikut budi bicara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (CCID), Pesuruhjaya Datuk Rusdi Mohd Isa, sebelum ini berkata beliau menyokong sepenuhnya pengenaan hukuman lebih berat terhadap penipu, seiring dengan pendekatan yang digunakan di Singapura.

“Kerajaan dijangka memperkenalkan Rang Undang-Undang Jenayah Siber pada 2026. Langkah ini tepat pada masanya kerana Akta Jenayah Komputer 1997 belum dipinda sejak dikuatkuasakan.

“Kami amat menantikan pengenalan hukuman lebih tegas bagi membendung penyalahgunaan akaun bank dan merencatkan rangkaian penipuan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg