KUALA LUMPUR: Jumlah banduan ditempatkan di penjara di seluruh Malaysia kini mencecah 87,000 tahanan, melebihi kapasiti maksimum penjara 74,000 orang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha rentas agensi dan kementerian perlu dilakukan bagi mengatasi masalah itu.
“Insya-Allah kita akan bantu Jabatan Penjara Malaysia menyelesaikan masalah lebih muatan ini dengan beberapa pendekatan proaktif setelah dibentangkan dalam mesyuarat (Majlis Sosial Negara),” katanya, lapor Astro Awani.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebelum itu meluncurkan Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 21 Oktober.
Datuk Ahmad Zahid menegaskan kerajaan tidak pernah memandang ringan permasalahan sosial yang berlaku di negara itu.
“Saya baru selesai mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara dan kami sentiasa cari penyelesaian serta buat keputusan dasar mengenai hala tuju pembangunan sosial negara sambil menilai strategi yang sedang dilaksanakan.
“Isu kami bincangkan tidak terhenti dalam permasalahan sosial, tetapi ia melangkaui permasalahan lain seperti pengurusan banduan rentan.
“Ini termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian, dasar perbankan buat orang kurang Upaya (OKU), pengurusan pelarian dalam negara dan keciciran murid sekolah menengah yang semakin merisaukan,” ujarnya.
DSN 2030 menetapkan sasaran untuk Malaysia berada di kedudukan ke-25 dalam Indeks Pembangunan Manusia dan Indeks Persepsi Rasuah, selain meningkatkan kepada 60 peratus penyertaan wanita dalam tenaga buruh.
Datuk Ahmad Zahid berkata Malaysia amat memerlukan sebuah dasar sosial yang lebih komprehensif dan menyeluruh untuk memacu agenda pembangunan sosioekonomi negara.
Empat teras DSN itu ialah keperluan asas, potensi diri, sistem sokongan dan tanggungjawab sosial.
Datuk Ahmad Zahid berkata DSN 2030 akan menetapkan hala tuju sosial negara dan mengenal pasti serta menyelesaikan isu sosial secara holistik.
Katanya biarpun kedudukan Malaysia meningkat ke tempat ke-35 dalam pencapaian Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) pada 2023, keberadaan di kedudukan ke-54 Indeks Kemajuan Sosial menunjukkan Malaysia belum mencapai keseimbangan diperlukan untuk menjadi negara maju sepenuhnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg