Mantan Menteri Pengangkutan, S. Iswaran, pada 24 September, mengaku bersalah atas lima tuduhan berhubung perbuatannya menerima hadiah daripada pihak yang berurusan dengannya sebagai penjawat awam.
Hakim Vincent Hoong menerima pengakuan bersalah itu yang dikemukakan pada hari pertama perbicaraan kes rasuah melibatkan Iswaran.
Pendakwa raya menuntut hukuman penjara antara enam hingga tujuh bulan dan Iswaran dijangka dijatuh hukuman pada 3 Oktober.
Iswaran mengaku bersalah ke atas empat tuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang melarang semua penjawat awam daripada mendapatkan atau menerima sebarang hadiah berharga daripada individu yang terlibat dengan mereka dalam tugasan rasmi. Ia kali pertama Seksyen tersebut digunakan sejak kemerdekaan Singapura pada 1965.
Dia telah menerima barangan berharga daripada pengerusi penganjur perlumbaan Formula Satu (F1) Singapore Grand Prix, Encik Ong Beng Seng, dan pengarah urusan syarikat pembinaan Lum Chang Holdings, Encik David Lum.
Dia telah mengembalikan sekitar $380,000 hadiah dan barangan lain yang diterimanya kepada negara.
Iswaran juga mengaku bersalah ke atas satu tuduhan menghalang proses keadilan.
Tuduhan itu bersangkutan tiket penerbangan kelas bisnes yang digunakannya pada 2022 untuk terbang dari Doha ke Singapura. Tiket itu ditanggung Encik Ong melalui syarikatnya, Singapore GP.
Iswaran telah membayar kembali kos tiket itu, bernilai $5,700, kepada Singapore GP.
Pada 24 September, Iswaran tiba di Mahkamah Tinggi sekitar 9.25 pagi dengan memakai sut hitam dan terus dikerumuni media dan orang awam.
Ada orang awam yang tiba seawal 5 pagi untuk beratur dan mendapat tempat di galeri untuk menyaksikan prosiding di bilik mahkamah yang padat.
Apabila perbicaraan dimulakan pada 10 pagi, Timbalan Peguam Negara (DAG) Tai Wei Shyong, berkata pendakwa raya tidak lagi akan mengenakan tuduhan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah (PCA) terhadap Iswaran.
Menyusuli itu, ketua pembela, Peguam Kanan Davinder Singh daripada firma guaman Davinder Singh Chambers LLC, berkata:
“Anak guam saya akan mengambil tindakan tertentu, memandangkan pendakwa raya tidak lagi akan mengemukakan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.”
Sekitar 10.05 pagi, tuduhan yang diubah dibacakan kepada Iswaran.
Apabila prosiding disambung semula pada 10.40 pagi, Iswaran diminta berdiri.
Dia memberitahu hakim: “Yang Berhormat, saya mengaku bersalah”.
Menyusuli itu, prosiding mahkamah diteruskan dengan pihak pendakwa dan pihak pembela bertikam lidah berkenaan tempoh hukuman yang setimpal untuk Iswaran.
DAG Tai mengusulkan hukuman penjara enam hingga tujuh bulan sebagai isyarat bahawa tindakan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali oleh penjawat awam.
Encik Davinder pula meminta hukuman penjara tidak melebihi lapan minggu kerana menyifatkan Iswaran tidak melakukan apa-apa yang merugikan pemerintah.
Prosiding yang bermula pada 10 pagi itu berakhir sekitar 4 petang, dengan Hakim Vincent Hoong berkata kes itu akan didengar lagi pada 3 Oktober.
Bercakap kepada media di luar mahkamah, Iswaran berkata adalah tidak wajar baginya mengulas mengenai kes tersebut kerana ia masih dipertimbangkan mahkamah. Dia menerbitkan kiriman di media sosial pada hari sama untuk menyatakan perkara yang sama.
Sejumlah 30 tuduhan lain yang dikenakan ke atas Iswaran sebelum ini akan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam kenyataannya pada 24 September berkata Iswaran menerima keseluruhan lebih $403,000.
Jumlah ini tidak termasuk kos barangan yang disita Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) semasa siasatan yang akan diserahkan kembali kepada negara, tambah AGC.
AGC juga berkata ia akan mengambil keputusan berkenaan hartawan Encik Ong, 78 tahun, tidak lama lagi, susulan sabitan Iswaran.
Encik Ong ialah pengerusi Singapore GP yang menganjur perlumbaan Formula Satu (F1).
Beliau dinamakan dalam pelbagai pertuduhan yang dihadapi Iswaran, dengan Iswaran mengaku menerima barangan berharga daripadanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg