Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenjara lama jadi tarikan baharu JB, sasar pikat warga S’pura
Dibina pada 1883, bekas Penjara Ayer Molek yang dijenama sebagai Kota Jail, tarik lebih 2j pengunjung setelah jadi hab kreatif
Penjara lama jadi tarikan baharu JB, sasar pikat warga S’pura
Sejak kebelakangan ini, nampaknya ramai yang suka keluar masuk ‘jel’.
Ia susulan usaha menjadikan bekas penjara memiliki daya tarikan yang mengimbau kisah silam di samping menerapkan sentuhan warisan.
Daripada sebuah tirai besi dengan kisah silam, tapak bersejarah berusia lebih seabad di tengah bandar raya Johor Bahru (JB) kini diberi nafas baharu.
Transformasinya sebagai pusat seni dan budaya bukan sahaja menghidupkan semula warisan lama, malah disasar menjadi antara tarikan mudah dikunjungi warga Singapura menerusi rangkaian Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) apabila ia mula beroperasi.
Dikenali kini sebagai Kota Jail, bekas Penjara Air Molek yang berusia 143 tahun itu terletak hanya sekitar lima hingga tujuh minit dari stesen RTS Bukit Chagar dan boleh dikunjungi dengan berjalan kaki dalam masa kurang 10 minit.
Kedudukannya yang berhampiran beberapa daya tarikan lain di pusat bandar, termasuk Zoo Johor dan Muzium Tokoh Johor, dilihat berpotensi mewujudkan satu lagi laluan pelancongan untuk warga Singapura yang mahu meneroka JB tanpa bergantung pada kereta.
Ketua Pegawai Eksekutif JOHO Brand, Encik Zul Abas, berkata kawasan seluas sekitar 6.07 hektar – kira-kira 8.5 padang bola sepak – sudah menerima lebih dua juta pengunjung sejak ia dibuka kepada orang ramai pada Mac 2025, termasuk pelawat antarabangsa.
“Kita lahir dan membesar di Johor dan melihat potensi negeri ini yang belum dimaksimumkan. Daripada sekadar mengeluh, kita mengambil inisiatif untuk menghidupkan tempat-tempat yang mempunyai nilai,” katanya.
JOHO Brand sebelum ini turut dikenali sebagai pihak di sebalik pembangunan Kilang Bateri di Tampoi, yang pernah menjadi tempat tumpuan golongan muda.
Namun, Encik Zul menegaskan Kota Jail bukan usaha menghidupkan semula konsep sama.
“Kilang Bateri lebih tertumpu kepada perniagaan. Di sini kita lebih kepada pelancongan sukan, warisan dan gaya hidup.
“Bila masuk Kota Jail, sebenarnya pengunjung masuk ke sebuah galeri penjara. Kita mahu mereka menghayati seni dan warisan tempat ini, bukan datang semata-mata untuk membeli-belah,” katanya.
Tembok berusia lebih 140 tahun kekal
Menurut Encik Zul, Penjara Air Molek dibina pada 1883 dengan antara struktur awalnya dibangunkan oleh kontraktor terkenal Johor, Wong Ah Fook.
Bangunan lain ditambah sekitar awal kurun ke-20 dan kawasan itu turut mempunyai sejarah berkaitan zaman pendudukan Jepun pada 1940-an.
Daripada kawasan seluas 6.07 hektar itu, sekitar 95 peratus sudah dibuka atau dibangunkan.
Namun, tembok yang rosak, cat lama dan beberapa hasil tulisan serta lukisan banduan tidak dipadamkan.
“Semuanya asli. Kalau ada mural kecil yang dibuat banduan, kita kekalkan.
“Kalau tulisan itu menggambarkan penyesalan, kerinduan atau tekanan mereka semasa di penjara, kita biarkan sebagai pedoman kepada orang lain,” katanya.
Kota Jail turut memberi pekerjaan kepada kurang 10 bekas banduan dan individu di bawah parol, dengan jumlah itu akan ditambah mengikut keperluan.
“Kita cuba beri mereka peluang kedua. Kalau mereka benar-benar mahu berubah, bekerja dengan baik dan mahu memajukan diri, kita beri mereka peluang,” ujar beliau.
Kurang 10 minit dari RTS
Kedudukan Kota Jail di pusat bandar dilihat sebagai antara kelebihan utamanya apabila RTS Link menghubungkan Woodlands North dengan Bukit Chagar.
Tarikan lain seperti Muzium Tokoh Johor dan Zoo Johor juga berada di kawasan pusat bandar.
“Kita berada di tengah Johor Bahru dan banyak tempat boleh dikunjungi dengan berjalan kaki. Bila RTS ada nanti, dari stesen ke Kota Jail sekitar lima hingga tujuh minit sahaja.
“Kita mahu Kota Jail menjadi satu lagi tempat tumpuan di pusat bandar Johor Bahru,” katanya.
Pihaknya kini merancang membangunkan ‘Art Village’ atau perkampungan seni bagi memberi ruang kepada penggiat seni dan pengusaha tempatan yang mempunyai produk tersendiri.
Menurut Encik Zul, keutamaan tidak semestinya diberikan kepada jenama besar, sebaliknya kepada produk yang boleh menambah nilai kepada identiti Kota Jail.
“Kita mencari keunikan. Kalau produk itu ada nilai seni dan sesuatu yang orang tidak boleh jumpa di mana-mana, itu yang kita mahukan,” katanya.
Empat daripada 10 pelanggan dari S’pura
Bagi pengasas Matcha Lalu, Encik Haziq Nor Azahar, 32 tahun, memilih Kota Jail sebagai cawangan pertamanya ternyata membawa hasil.
Beliau berkata sekitar 40 peratus pangkalan pelanggannya di situ terdiri daripada warga Singapura.
“Sambutan sejak kita buka sangat menggalakkan. Kalau berdasarkan data pelanggan kami, hampir 40 peratus datang dari Singapura.
“Alhamdulillah, selepas sekitar setahun di Kota Jail, kita sudah berjaya membuka cawangan kedua di Iskandar Puteri,” katanya.
Menurut beliau, jumlah keluar masuk pengunjung di Kota Jail juga memberi kelebihan berbanding cawangan biasa.
“Di Kota Jail, tarikan tempat itu sendiri menyebabkan aliran pengunjung sangat baik. Orang datang melihat tempat ini dan dalam masa sama singgah ke perniagaan kami,” katanya.
Sementara itu, Pemilik Florist by Veloris, Cik Norhaimi Safeye, 39 tahun, turut berkata sekitar 40 peratus pelanggannya terdiri daripada warga Singapura.
“Kalau kedai di luar, kita banyak bergantung kepada orang yang memang sengaja mahu datang ke kedai.
“Di Kota Jail, memang setiap hari ada orang datang dan singgah. Hujung minggu atau apabila ada acara, jumlahnya lebih ramai. Kita juga mempunyai pelanggan tetap dari Singapura,” katanya.
Penggiat seni S’pura turut datang
Bukan hanya pembeli Singapura yang mula menemui Kota Jail.
Encik Muhammad Taufiq Roslie, 38 tahun, dari Clementi, datang ke kawasan itu untuk menghasilkan karya grafiti sempena sebuah acara seni.
Beliau yang berkecimpung dalam seni grafiti sejak 2014 dan pernah menghasilkan karya di Eropah serta beberapa negara Asia berkata struktur lama Kota Jail sendiri menawarkan daya tarikan tersendiri.
“Tempat ini menarik sebab keadaannya masih sangat asli, terutama temboknya.
“Kalau lebih banyak acara seperti ini diadakan, saya rasa ia boleh menarik lebih ramai orang Singapura.
“Untuk datang minum kopi dan melihat suasana pun tempat ini sudah menarik,” katanya.
Seorang lagi penggiat grafiti dari Singapura, Encik Mohamad Al Jufri Mohamad Hazhar, 35 tahun, yang menggunakan nama seni ‘Bings’, berkata kunjungannya kali ini merupakan pengalaman pertama beliau ke Kota Jail.
Beliau yang terbabit dalam seni grafiti sejak 2011 menghasilkan karya dengan ungkapan, ‘Merdeka di hati, makmur di bumi’.
“Tempat ini setakat yang saya lihat sudah meriah. Acara seperti ini juga seperti pertemuan semula bagi penggiat grafiti yang sering bertemu dalam kegiatan seni di rantau ini,” katanya.
Encik Samsidi Samat, 41 tahun, dari Bukit Batok, pula mahu lebih banyak kegiatan untuk golongan muda diadakan di kawasan itu.
“Kalau mahu tarik lebih ramai orang muda Singapura, buat lebih banyak acara seperti ini.
“Selain grafiti, boleh juga ada kegiatan tradisional Melayu atau ruang untuk generasi muda mempamerkan karya dan produk yang dekat dengan mereka,” katanya.
Bukan Kota Jail sahaja diberi nafas baharu
Pengarah Tourism Johor, Encik Nazrul Abd Rahim, berkata kerajaan negeri turut menaik taraf beberapa daya tarikan lain.
Ia termasuk Hutan Bandar, Danga Park, Taman Merdeka, kawasan Kilometer Sifar Johor Bahru, Zoo Johor dan Kampung Sungai Melayu.
Muzium Tokoh Johor dan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar juga antara produk yang menunjukkan peningkatan pengunjung selepas dibuka atau dinaik taraf.
“Kita melihat peningkatan jumlah pengunjung yang ketara selepas tempat-tempat ini dinaik taraf.
“Tujuannya adalah menyediakan lebih banyak produk dalam pelancongan warisan, budaya dan rekreasi supaya pelawat mempunyai lebih banyak pilihan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semula Jadi Johor, Encik Ajmal Ahmad Shahrom, pula berkata Kota Jail berpotensi dimasukkan dalam laluan pelancongan bandar.
“Bangunan bersejarah seperti ini bukan sekadar perlu dipelihara, tetapi perlu dihidupkan dengan kegiatan yang membolehkan masyarakat dan pelancong memahami sejarah serta identiti Johor.
“Kita mahu Johor Bahru bukan hanya menjadi pintu masuk dari Singapura, tetapi destinasi yang membuatkan pelancong mahu tinggal lebih lama serta meneroka sejarah, budaya dan keunikan Johor,” tambahnya.