Topik diikuti
Pergi ke BHku$5 berbaloi atau mahal? Pengguna timbang kadar tambang RTS
Warga S’pura anggap harga tambang perjalanan $3-$5 sebagai kadar munasabah, pekerja M’sia bimbang kos perjalanan harian jika tambang terlalu tinggi
$5 berbaloi atau mahal? Pengguna timbang kadar tambang RTS
Menjelang operasi Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, satu persoalan yang semakin menjadi perhatian warga di kedua-dua belah Tambak ialah berapakah kadar tambang yang dianggap berpatutan untuk menggunakan perkhidmatan rel rentas sempadan itu.
Meskipun terdapat cadangan sebelum ini bahawa tambang dijangka berada dalam lingkungan $5 hingga $7 (RM15.80 hingga RM22.20) bagi setiap perjalanan, pandangan pengguna yang ditemui Berita Harian (BH) berbeza-beza.
Bagi sesetengah warga Singapura, $5 dianggap munasabah memandangkan RTS dijangka menawarkan perjalanan yang lebih cepat, selesa dan mudah.
Namun, bagi pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari, setiap dolar perlu dihitung kerana $5 sehala bermakna $10 sehari untuk perjalanan pergi dan balik.
Ia belum termasuk kos perjalanan dari rumah ke stesen serta pengangkutan seterusnya dari Woodlands North ke tempat kerja.
Justeru, beberapa pengguna berpendapat kadar sekitar $3 hingga $5 lebih sesuai sekiranya RTS mahu menjadi pilihan pengangkutan harian dan bukan sekadar alternatif lebih pantas kepada mereka yang sanggup membayar lebih.
Seorang warga Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Natasha, 31 tahun, berkata beliau pada mulanya berpendapat kadar sehingga $10 mungkin boleh diterima.
Namun, selepas mengambil kira pekerja Malaysia yang mungkin menggunakan RTS dua kali sehari, beliau melihat $5 sebagai kadar yang lebih munasabah.
“Kalau orang Malaysia bekerja di Singapura dan perlu membayar tambang ulang-alik... kalau sampai $10 atau lebih memang agak mahal.
“Tambang $5 saya rasa okey. Maksimum mungkin $10, tetapi kalau perjalanan itu singkat dan digunakan setiap hari, $10 memang dianggap agak tinggi,” kata pekerja dalam bidang pemasaran itu.
Cik Natasha, yang menggunakan pengangkutan awam apabila berkunjung ke Johor Bahru, berkata pengalaman menggunakan bas rentas sempadan ketika waktu sibuk juga membuatkannya menantikan RTS.
Menurut beliau, masalah bukan semata-mata tempoh pemeriksaan imigresen bahkan juga ketidaktentuan tempoh menunggu bas.
“Ada masa orang sangat ramai tetapi hanya satu bas datang. Kadang-kadang pula dua atau tiga bas datang serentak.
“Kalau waktu sibuk, sepatutnya lebih banyak bas disediakan. Saya harap apabila RTS beroperasi nanti, perkhidmatannya lebih teratur,” katanya.
Beliau berkata penggunaan pintu automatik di pusat pemeriksaan juga sudah mempercepatkan proses perjalanan berbanding beberapa tahun lalu.
$3 hingga $5 dianggap sesuai
Bagi Encik Mohd Ridhan Ramlan, 32 tahun, yang bekerja dalam sektor pengangkutan swasta di Singapura, beliau menganggap tambang $3 hingga $5 sebagai lingkungan harga yang masih berpatutan.
“Pada saya $3 hingga $5 okey. Kalau untuk orang ramai mungkin bawah $3 akan lebih baik, tetapi secara peribadi $5 masih berbaloi.
“Kita kena lihat juga penjimatan masa berbanding menggunakan bas atau terpaksa beratur lama,” katanya.
Encik Mohd Ridhan, yang berkunjung ke Johor Bahru setiap dua hingga tiga bulan, berkata beliau lazimnya memilih kereta atau kereta api, terutama apabila membawa isteri dan anak-anak.
Baginya, kemudahan perjalanan bersama keluarga merupakan antara faktor yang boleh menyebabkan pengguna sanggup membayar lebih sedikit.
Pemilik kedai barangan antik di Singapura, Encik Mohamad Nazrie Mohamad Saleh, 45 tahun, pula berkata $5 sudah mencukupi memandangkan jarak perjalanan RTS tidak begitu jauh.
“Saya rasa $5 sudah memadai... jaraknya tidak panjang dan nanti jumlah pengguna juga ramai.
“Kalau bas dari Singapura ke Johor Bahru boleh jauh lebih murah, pengguna tentu akan membandingkannya. Jadi kalau $5, atau mungkin lebih rendah sedikit, pada saya lebih sesuai,” katanya.
Encik Mohamad Nazrie yang sering menggunakan bas untuk memasuki Johor berkata perjalanan menggunakan kereta boleh menyebabkan pengguna terperangkap dalam kesesakan selama dua hingga tiga jam ketika waktu puncak.
Justeru, beliau melihat kelebihan utama RTS pada kepastian masa perjalanan.
Namun, katanya, tambang perlu kekal menarik supaya orang ramai benar-benar terdorong beralih daripada bas atau kenderaan sendiri kepada RTS.
Seorang lagi warga Singapura, Encik Muhammad Iqbal Mohd Said, 30 tahun, yang tinggal di Woodlands, berkata penentuan harga perlu mengambil kira pengguna dari kedua-dua negara.
“Bagi saya, perlu ada keseimbangan. Orang Malaysia hendak datang Singapura biarlah pada harga yang mampu dibayar, begitu juga orang Singapura yang hendak ke Malaysia.
“Jangan disebabkan Singapura mempunyai mata wang lebih kukuh, tambangnya menjadi terlalu mahal,” kata beliau.
Encik Muhammad Iqbal yang biasanya menggunakan teksi apabila ke Johor berkata beliau boleh membelanjakan sekitar $300 bagi setiap kunjungan, kebanyakannya untuk makanan.
Namun, beliau berkata kemampuan warga Singapura tidak sepatutnya menjadi ukuran tunggal dalam menetapkan tambang kerana RTS turut dijangka digunakan rakyat Malaysia setiap hari.
Pekerja Malaysia paling terasa
Bagi Encik Hadi Hasan, 36 tahun, yang bekerja dalam sektor perkhidmatan maritim di Woodlands, tambang $5 sehala boleh menyebabkan RTS kehilangan daya tarikannya sebagai pilihan kepada motosikal.
Beliau sudah tiga tahun berulang-alik dari Kulai dengan motosikal dan mengakui perjalanan itu memenatkan.
“Saya memang tunggu RTS dan ada terfikir hendak menggunakannya sebab mungkin lebih mudah. Penat sebenarnya naik motosikal setiap hari.
“Tetapi kalau $5 sehala, pergi balik sudah $10. Pada saya, itu mahal sebab kosnya hampir tidak banyak beza dengan membawa motosikal,” katanya.
Menurut Encik Hadi, beliau kini memperuntukkan sekitar RM100 sebulan untuk petrol motosikal dan kira-kira $100 untuk bayaran berkaitan perjalanan merentasi sempadan.
Jika menggunakan RTS pula, beliau masih perlu menunggang motosikal dari Kulai ke kawasan stesen dan kemungkinan membayar tempat letak motosikal sebelum meneruskan perjalanan dengan kereta api.
“Kalau saya masih kena naik motosikal sampai stesen, kemudian kena bayar tempat letak motosikal dan tambah lagi $10 pergi balik untuk RTS, dari sudut nilai itu menjadi kurang menarik.
“Saya ingatkan mungkin tambangnya sekitar $3 pergi balik supaya orang terdorong meninggalkan motosikal atau kereta,” katanya.
Beliau berkata tambang lebih rendah juga boleh membantu mencapai matlamat mengurangkan jumlah kenderaan yang memasuki pusat pemeriksaan setiap hari.
“Kalau murah, lebih ramai mungkin memilih pengangkutan awam dan keadaan trafik di pusat pemeriksaan boleh menjadi lebih baik.
“Kalau mahal, mungkin orang akan fikir tidak ada sebab untuk mereka mengubah cara perjalanan sekarang,” katanya.
Gaji rendah jadi pertimbangan
Encik Muhammad Kamaruzaman, 30 tahun, yang turut berulang-alik dengan motosikal, pula berpendapat tambang di bawah $5 masih boleh diterima kerana RTS menawarkan kelebihan dari segi masa.
“Bas memang lebih murah tetapi RTS lebih cepat. Jadi bagi saya kalau bawah $5 masih berpatutan,” katanya.
Namun, beliau berkata tidak semua pekerja Malaysia di Singapura menerima pendapatan tinggi.
“Ada yang gaji asasnya bawah $1,500. Bagi orang seperti itu, apabila tambang dikira setiap hari dan setiap bulan, memang mereka akan rasa peritnya.
“Kalau seseorang bekerja 26 hari sebulan, jumlah perjalanan itu perlu dimasukkan dalam perbelanjaan tetap mereka,” katanya, sambil menyatakan bahawa beliau masih memerlukan motosikal kerana kadangkala perlu bergerak dari satu tempat kerja ke tempat lain di Singapura.
Beliau sendiri membelanjakan sekitar $104 sebulan bagi kos tertentu perjalanan motosikal merentasi sempadan.
Seorang pekerja sektor pengangkutan di Hougang yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Zulkifli, 36 tahun, pula berkata $5 hingga $7 boleh diterima sekiranya mutu perkhidmatan sepadan dengan tambang.
“Kalau $5 saya rasa okay. Kalau dinaikkan sedikit kepada $7 pun kita kena tengok sama ada ia selari dengan kecepatan pemeriksaan, kapasiti dan kemudahan yang diberikan.
“Bila kita bercakap tentang tambang, kita bukan hanya melihat jarak tetapi penjimatan masa dan kemudahan perjalanan,” katanya.
Menurut beliau, pengguna juga perlu mengambil kira RTS menawarkan sambungan lebih mudah kepada rangkaian kereta api Singapura dari Woodlands North.
Namun, beliau berkata penyelenggaraan kemudahan perlu berada pada tahap tinggi jika pengguna diminta membayar tambang yang lebih mahal.
“Kalau kita bayar untuk kemudahan yang lebih moden, ia perlu dijaga dengan baik. Bukan hanya soal membina, tetapi bagaimana kemudahan itu diselenggara untuk jangka panjang,” katanya.
RTS Link dijadual mula beroperasi pada awal Januari 2027 dan akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.
