Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenjawat awam M’sia dilarang guna Waze, khuatir data bocor
Penjawat awam M’sia dilarang guna Waze, khuatir data bocor
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia melarang semua penjawat awam di negara itu menggunakan aplikasi navigasi Waze serta-merta, menyusuli kebimbangan terhadap keselamatan maklumat kerajaan dan data pergerakan pengguna.
Arahan itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menerusi surat bertarikh 20 Oktober, bersandarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi surat berkenaan, semua ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan Persekutuan, pengurusan badan berkanun Persekutuan, setiausaha kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan, diminta memastikan arahan itu dimaklumkan kepada pegawai di bawah seliaan masing-masing untuk pelaksanaan segera.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd, sebagai syarikat yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai perlindungan maklumat dan data pergerakan pengguna, lapor laman web Astro Awani.
Sebelum ini, Datuk Anwar menyarankan rakyat Malaysia untuk turut berhenti menggunakan Waze dan beralih kepada aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebagai alternatif bagi keperluan perjalanan di jalan raya.
Menurut Datuk Anwar keselamatan maklumat dan data peribadi rakyat perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat, selain akan terus memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman siber.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan pada 21 Oktober, berkata kebimbangan mengenai keselamatan dan identiti rakyat itu turut mengambil kira terma penggunaan Waze, yang memperuntukkan pemakaian undang-undang Israel serta bidang kuasa mahkamah negara itu bagi pertikaian berkaitan penggunaan perkhidmatannya.
“Maklumat lokasi dan corak pergerakan pengguna merupakan data sensitif yang memerlukan perlindungan sewajarnya, khususnya apabila melibatkan urusan rasmi serta kepentingan strategik negara.
“Kerajaan menegaskan kemudahan teknologi tidak boleh mengatasi tuntutan keselamatan negara, khususnya apabila melibatkan data sensitif rakyat dan kepentingan strategik Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Encik Siraj Jalil, berkata walaupun Waze dibeli oleh Google secara komersial, terma penggunaannya menyatakan data yang dikumpulkan tertakluk kepada perundangan Israel.
Justeru, Encik Siraj berpandangan keputusan JKSN melarang semua penjawat awam menggunakan Waze berkuat kuasa serta-merta adalah tepat dan selari dengan gesaan MCCA menerusi siaran media pada 7 Oktober lalu.