Peta digital Muis beri maklumat sehenti tarawih, khidmat Ramadan serata S’pura
Peta digital Muis beri maklumat sehenti tarawih, khidmat Ramadan serata S’pura
Solat tarawih, waktu agih bubur, khidmat jaga anak di masjid boleh diakses dalam satu wadah digital
Buat julung-julung kalinya pada Ramadan 2026, masyarakat Islam Singapura tidak perlu ke laman web atau media sosial masjid berasingan bagi mengakses maklumat berkaitan solat tarawih dan qiamullail, waktu pengagihan bubur dan khidmat menjaga anak atau childminding.
Dihimpunkan dalam satu peta digital yang dibentuk Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) melalui wadah maps.gov.sg, daya usaha itu bertujuan memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan program Ramadan di masjid dan kariah serata Singapura dalam satu wadah yang mudah diakses.
Inisiatif yang pada awalnya bermula pada 2025 sebagai peta mengemudi Solat Hari Raya Aidilfitri 2025, kini diperluas bagi mengetengahkan maklumat mengenai Ramadan.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH), jurucakap Muis berkata sejajar dengan keperluan masyarakat yang banyak menggunakan telefon bimbit untuk merancang kegiatan harian mereka, peta itu sekali gus dapat memudahkan perancangan ibadah Ramadan mereka dengan lebih teratur dan praktikal.
“Sebelum ini, maklumat seperti waktu tarawih, qiamullail dan agihan bubur Ramadan diperoleh secara berasingan melalui laman web atau media sosial masjid.
“Dengan adanya peta digital ini, semua maklumat dihimpunkan dalam satu wadah supaya lebih mudah dirujuk dan membantu pencarian maklumat,” kata Muis.
Inisiatif tersebut memanfaatkan wadah maps.gov.sg yang dihasilkan oleh Produk Pemerintah Terbuka (OGP).
Berbentuk sebagai peta, masyarakat boleh mencari masjid atau kariah berdasarkan nama, alamat atau poskod.
Ia turut menampilkan maklumat terperinci termasuk susunan solat tarawih di masjid dan kariah, ruang solat Muslimah, perkhidmatan di masjid dan waktu agihan bubur Ramadan.
Peta tersebut boleh diakses terus melalui pelayar Internet tanpa perlu memuat turun sebarang aplikasi.
Tinjauan BH mendapati wadah itu juga mempunyai pengemudian pantas, dengan jemaah yang menaiki kenderaan boleh terus ke pautan Waze atau Google Maps untuk panduan arah ke masjid serata Singapura.
“Bagi mereka yang menggunakan pengangkutan awam, lokasi masjid boleh dirujuk untuk merancang perjalanan melalui aplikasi pengangkutan pilihan masing-masing.
“Reka bentuknya ringkas dan mesra telefon bimbit, sesuai digunakan ketika dalam perjalanan,” tambah Muis.
Bagi yang ingin menggunakan peta tersebut, mereka boleh melayari pautan, https://maps.gov.sg/ramadan2026

