KUALA LUMPUR: “Usaha keras tidak akan mengkhianati hasil. Jadi sentiasalah percaya setiap yang kita usahakan tidak akan sia-sia, semua penat lelah akan terbayar.”

Demikian kata-kata Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Dr Nurul Asmaa Akmal Md Din.

Dr Nurul Asmaa, 30 tahun, berkata, sebelum memperoleh pekerjaan sebagai pensyarah kanan, beliau terlebih dahulu bekerja sebagai janitor (penjaga dan pekerja pembersihan bangunan) di sekitar Lembah Klang selama beberapa tahun sebagai sumber pendapatannya.

“Saya mula bekerja sebagai janitor sejak 2018 selepas habis ijazah.

“Saya bekerja sebagai janitor pada asalnya kerana itu sahaja kerja yang senang mendapat wang segera. Maksudnya, saya boleh terus dibayar gaji pada hari yang sama bekerja. Lama-kelamaan, kerja itu mendatangkan keseronokan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pekerjaan itu turut membantunya daripada segi penghasilan kajian di peringkat pengajian ijazah doktor falsafah (PhD).

“Kajian PhD saya ialah berkenaan pengurusan sampah yang memerlukan pengalaman saya sebagai orang bekerja dalam sektor pengurusan sampah. Oleh itu, saya bekerja dan turut mengumpul data kajian.

“Pekerjaan ini medium untuk menjana pendapatan dan juga mendapatkan data kajian,” katanya.

Beliau turut menyifatkan ibunya pendorong utama untuk berjaya sehingga ke tahap ini dan sebagai laluan merealisasikan impian itu.

“Ibu saya pernah mengatakan bahawa anaknya pandai, namun semuanya tidak mahu menjadi doktor.

“Oleh kerana ketika itu saya sudah menyambung bidang Bahasa Melayu, saya hanya boleh mengambil doktor falsafah jika menyambung pengajian di peringkat sarjana dan PhD.

“Pada masa sama, UM memberi saya biasiswa penuh untuk menyambung pelajaran. Jadi, saya gunakan biasiswa ini sebagai jalan untuk merealisasikan impian ibu saya,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti