Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenulis novel terbilang ‘Salina’, A. Samad Said, meninggal dunia
Penulis novel terbilang ‘Salina’, A. Samad Said, meninggal dunia
Malaysia kehilangan tokoh Sasterawan Negara keempat, Datuk Seri A. Samad Said, yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada 6.10 petang, 24 November.
Berita pemergian Allahyarham yang juga seorang penyair ke rahmatullah itu disahkan oleh anak keduanya, Encik Helmy Abdul Samad, menerusi perkongsian di media sosial.
“ ‘6.10. Innalillahi wainnailaihi rojiun’,” tulis Encik Helmi ringkas di Facebook beliau, pada 24 November.
Laman web Astro Awani pula melaporkan isteri Allahyarham, Datin Seri Rashidah Dahan, turut mengesahkan berita pemergian Allahyarham dan memaklumkan jenazahnya akan dibawa ke Masjid Bangsar, Kuala Lumpur, untuk urusan pengebumian.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan rasa hiba dan sayu dengan berita pemergian Allahyarham Datuk A. Samad yang juga mesra disapa sebagai Pak Samad.
Beliau berkata kasihnya Datuk A. Samad kepada rakyat akan terus hidup dalam dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan.
“Lewat Salina (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuangkan harapan mereka.
“Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) dan saya menzahirkan rahmat ke atas roh Pak Samad dan mengurniakan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan,” tulisnya di Facebook.
Terdahulu pada pagi 24 November, Datuk Anwar dalam hantaran di Facebooknya mendoakan semoga Datuk A. Samad yang dirawat di HKL, diberikan kesembuhan segera.
Datuk Anwar menyifatkan Allahyarham Datuk A. Samad sebagai sosok budayawan yang amat berjasa dalam dunia kesusasteraan tanah air.
Pemergian Datuk A. Samad meninggalkan legasi besar dalam dunia kesusasteraan Melayu menerusi karya-karya yang bukan sahaja memperkaya khazanah sastera negara, malah merakam denyut kehidupan dan realiti masyarakat dalam pelbagai zaman.
Dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, Allahyarham merupakan antara tokoh sastera paling berpengaruh di Malaysia dengan penghasilan karya merangkumi novel, puisi, drama, cerpen dan esei sepanjang kerjaya penulisannya.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura dari 1940 hingga 1946 sebelum melanjutkan pelajaran di Victoria Institution sehingga memperoleh Sijil Senior Cambridge pada 1956.
Antara karya yang mengangkat nama beliau termasuk novel Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi dan Lantai T. Pinkie, yang memperlihatkan keupayaannya mengangkat pelbagai sisi kehidupan manusia dan masyarakat.
Novel Salina turut diterjemahkan ke beberapa bahasa, termasuk bahasa Inggeris dan Perancis, sekali gus memperluas pengenalan karya sastera Melayu kepada pembaca antarabangsa.
Malah, beberapa karya Allahyarham turut diadaptasi ke pentas teater dan drama.
Sumbangan besar Allahyarham dalam bidang kesusasteraan mendapat pengiktirafan menerusi pelbagai penghormatan, antaranya Anugerah Pejuang Sastera pada 1976, SEA Write Award pada 1979 dan Anugerah Sastera Negara pada 1985.
Beliau turut menerima Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 1997 dan menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk Seri pada Julai 2017.
Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pembangunan Sastera di The New Straits Times Press (NSTP) dan mengetuai Berita Harian Malaysia, sebelum melepaskan jawatan Pengarang Sastera pada 1987 untuk menumpukan bidang penulisan dan sastera.