Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyampai 3 Pagi Era direhatkan hingga siasatan dalaman selesai

Mar 12, 2025 | 4:22 PM
Astro Audio merehatkan tiga penyampai Era FM (dari kiri) Azad Jasmin, Nabil Ahmad dan Radin Amir Affendy susulan kontroversi dicetuskan yang didakwa mempersenda upacara agama Hindu.
Astro Audio merehatkan tiga penyampai Era FM (dari kiri) Azad Jasmin, Nabil Ahmad dan Radin Amir Affendy susulan kontroversi dicetuskan yang didakwa mempersenda upacara agama Hindu. - Foto BH ONLINE

CYBERJAYA: Penyampai radio 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy masih lagi direhatkan sehingga siasatan dalaman selesai.

Ketua Strategi Astro Radio, Encik Rizal Sahimy, berkata pengumuman mengenai status tiga penyampai itu akan dibuat selepas siasatan selesai.

“Siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah pun selesai, lesen tidak digantung, saman pun sudah ada.

“Bagaimanapun, kami masih lagi melakukan siasatan dalaman secara terperinci dari segala sudut bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang.

“Buat masa ini, mereka masih lagi direhatkan bagi meredakan tekanan memandangkan isu masih panas,” katanya yang ditemui di IFtar @ Masjid Zayan FM dan Era FM di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini pada 11 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurut Encik Rizal lagi, Astro Audio juga kini sedang menyusun atur strategi untuk memulihkan kembali imej stesen radio yang tercalar.

Katanya, setakat ini, tiada prosedur operasi standard (SOP) baru diperkenalkan, tetapi pemantauan lebih ketat akan dilaksanakan bagi mengelak daripada berlakunya kecuaian.

“SOP sudah ada, kita hanya ikut yang sedia ada. Penyampai pun sudah menyesali perbuatan dan mohon maaf secara terbuka, jadi kami tahu mereka tertekan.

“Bagi menjaga kesihatan mental dan tak mahu kerja terganggu, biarlah mereka berehat dahulu,” katanya.

Encik Rizal berkata video tular yang mencetuskan kekecohan sudah pun dipadam bagi menjaga sensitiviti.

Pada 11 Mac, Maestra Broadcast Network System Sdn Bhd dikenakan kompaun RM250,000 ($75,084), namun lesen mereka tidak digantung.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata tiada tindakan lanjut akan diambil oleh SKMM terhadap tiga penyampai radio yang terbabit.

Datuk Fahmi berkata ketiga-tiga penyampai radio yang itu sudah pun memohon maaf dan digantung tugas oleh radio terbabit.

“Mereka juga sudah pun menghadapi tekanan yang besar sepanjang isu ini berlaku sejak beberapa hari lalu dan kami tidak bercadang mengambil apa-apa tindakan lanjut kepada penyampai radio berkenaan kerana kompaun kepada syarikat pengendali juga sudah dikeluarkan.

“Jumlah kompaun RM250,000 yang dikenakan terhadap syarikat pengendali iaitu Maestra Broadcast Sdn Bhd itu adalah munasabah,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg