KUALA LUMPUR: Polis Malaysia sudah menerima 73 laporan berhubung kes enam kakitangan termasuk tiga penyampai radio Era FM mengenai dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Semua 73 laporan polis itu diterima dari seluruh negara termasuk daripada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata setakat ini tiada lagi individu lain yang dipanggil bagi proses merakam percakapan selain keterangan daripada enam kakitangan stesen radio terbabit pada 5 Mac.
“Pihak polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes yang dilaporkan dan telah merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) pada hari ini (6 Mac).
“Sehubungan itu saya meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan yang dibuat.
“Orang ramai juga disarankan untuk tidak cuba mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni antara agama dan bangsa menerusi media sosial,” katanya kepada Berita Harian Malaysia pada 6 Mac.
Tan Sri Razarudin berkata tindakan boleh diambil terhadap individu yang cuba memecahbelahkan perpaduan atau menimbulkan ketegangan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 4 Mac, penyampai radio slot 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin tampil memohon maaf berikutan penghasilan video kontroversi yang dilihat mempersendakan tarian kavadi Hindu.
Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain.
Klip video itu mengundang kecaman ramai kerana secara terang-terangan mempersendakan upacara keagamaan penganut Hindu.
Ia turut mencetuskan kemarahan Timbalan Presiden Kongres India Malaysia (MIC) yang juga Ahli Parlimen (AP) Tapah, Encik M Saravanan, yang menuntut permohonan maaf terbuka termasuk menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap stesen radio Era FM.
Pada 5 Mac, mereka tampil ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, pada 11 pagi selepas dipanggil memberikan keterangan.
Dilaporkan, mereka dilihat keluar dari tempat itu dengan menaiki Toyota Vellfire selepas merekodkan keterangan selama lebih dua jam.
Mereka berlalu pergi tanpa menyapa sekumpulan wartawan yang hadir membuat liputan kes tersebut.
Siasatan kes berkenaan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg