Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pergolakan dalam Bersatu: AP Parlimen Pahang dipecat

Pemecatan Saifuddin Abdullah dipercayai berkait dengan kritikan lantang dan terbuka terhadap kepimpinan Presiden Bersatu
Jan 7, 2026 | 2:08 PM
Bersatu, pecat, keahlian
Ahli Parlimen Indera Mahkota (Pahang), Datuk Saifuddin Abdullah, dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 6 Januari, selepas lantang mengkritik kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini. - Foto FACEBOOK SAIFUDDIN ABDULLAH

Pergolakan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin meruncing selepas seorang lagi pimpinannya dipecat daripada keahlian parti itu pada 6 Januari.

Ahli Parlimen (AP) Indera Mahkota (Pahang) yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan telah diberikan surat memaklumkan mengenai pemecatannya kerana telah melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti.

Surat itu tidak memperincikan kesalahan dilakukan pemimpin itu, namun ia dipercayai berkait dengan kritikan lantang dan terbuka Datuk Saifuddin terhadap kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini dan desakan supaya ketuanya itu melepaskan jawatan serta melaksanakan peralihan kepimpinan.

Pemecatan Datuk Saifuddin berlaku selepas beliau disingkirkan daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, pada Oktober 2025 dan pemecatan AP Tasek Gelugor (Pulau Pinang), Datuk Wan Saiful Wan Jan serta empat Ketua Bahagian Bersatu yang mendesak pengunduran Tan Sri Muhyiddin sebelum ini.

Seorang lagi pemimpin Bersatu iaitu AP Machang (Kelantan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, digantung selama sepenggal.

Datuk Saifuddin, dalam kenyataan media pada 7 Januari, mengesahkan akan membuat rayuan dalam kes pemecatannya itu dan mendakwa proses siasatan Lembaga Disiplin Bersatu tidak adil dan bercanggah dengan prinsip keadilan asasi.

Alasan pemecatannya terlalu ringkas dan gagal memperincikan pertimbangan substantif terhadap pembelaan yang telah dikemukakannya kepada Lembaga Disiplin pada 6 November 2025.

Penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan, berkata pemecatan Datuk Saifuddin dan beberapa pemimpin Bersatu sebelum ini dilihat sebagai langkah strategik Tan Sri Muhyiddin untuk melemahkan pengaruh kem yang dikaitkan dengan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Kalau kita lihat pemimpin Bersatu yang dipecat atau digantung kebanyakannya dianggap berada dalam kelompok penyokong Datuk Hamzah. Ini sekali gus menunjukkan usaha sistematik untuk menghakis sokongan di sekeliling Datuk Hamzah,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Pakar Geostrategis dan Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara itu juga berpandangan, krisis dalaman Bersatu dicetuskan dengan pertembungan dua kem utama dalam parti, iaitu antara Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Hamzah. 

“Keadaan ini mungkin menjelaskan mengapa Tan Sri Muhyiddin berusaha untuk terus mempertahankan jawatan Presiden parti. 

“Jawatan ini memberi kuasa besar, termasuk kuasa memecat, yang dianggap amat ampuh untuk melemahkan lawan politik dalam parti,” katanya.

Profesor Dr Azmi juga melihat langkah pemecatan tersebut tidak akan meredakan krisis dalaman Bersatu, sebaliknya berpotensi memburukkan lagi keadaan walaupun Datuk Hamzah dilihat kehilangan sokongan secara berperingkat.

“Krisis berpanjangan ini telah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Bersatu, dan kesannya bukan terhad kepada parti itu saja, malah turut memberi implikasi kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan alternatif kepada rakyat ketika ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg