Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muhyiddin didesak letak jawatan selepas Bersatu kalah teruk dalam pilihan raya Sabah

Dec 4, 2025 | 1:46 PM
Yunus Nurdin Yunus, bersatu, muhyiddin
Setiausaha Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Encik Yunus Nurdin Yunus (duduk, tengah), berucap pada sidang media di Pejabat Badan Pimpinan Bersatu Sabah, di Kota Kinabalu, pada 3 Disember. - Foto NSTP

KOTA KINABALU (Sabah): Kekalahan teruk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 membawa kepada desakan dan tuntutan untuk Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatannya.

Tuntutan itu disuarakan oleh majoriti bahagian Bersatu di negeri itu selepas parti tersebut tewas di semua 36 kerusi yang ditandingi.

Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee, juga tewas di kerusi ditandinginya.

Tan Sri Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), turut mengetuai kempen yang menyaksikan gabungan pembangkang itu hanya menang satu daripada 42 kerusi – iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai yang dimenangi oleh calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Encik Yunus Nurdin, mendakwa kekalahan teruk parti itu pada PRN Sabah ke-17 baru-baru ini adalah disebabkan kelemahan Tan Sri Muhyiddin.

Beliau mendakwa ketika jentera Bersatu Sabah melakukan persiapan rapi untuk menghadapi PRN itu, mereka berdepan pelbagai pergolakan dalaman termasuk pemimpin bahagian dan ahli diambil tindakan, malah dipecat kerana mengkiritik kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh (Johor) itu.

Ahli Majlis Pimpinan Bersatu pusat tersebut juga mendakwa tiada peruntukan kewangan diberikan oleh parti pusat untuk jentera mengatur gerak bagi memastikan kemenangan 33 calon parti itu pada PRN Sabah.

“Ketiadaan sumber kewangan menyukarkan kami malah ada calon terpaksa menggadaikan kereta, rumah dan harta mereka untuk kita berjuang pada PRN ini... kita semua menanggung hutang sekarang ini untuk parti... Bersatu Sabah mengalami kegagalan yang saya kira amat memalukan.

“Kami mahu Tan Sri Muhyiddin bertanggungjawab atas kelemahan beliau sebagai pemimpin dan mendesak beliau untuk berundur, meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN,” katanya pada sidang media di Pejabat Badan Pimpinan Bersatu Sabah pada 3 Disember, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Yunus juga mendakwa desakan itu turut disokong oleh 20 daripada 24 bahagian Bersatu di Sabah, dan beliau serta penyokongnya bersedia meletak jawatan beramai-ramai jika dikenakan tindakan tidak adil oleh parti.

“Tidak (pernah) terfikir (untuk) keluar (Bersatu) kerana parti ini di Sabah kami yang bina kembali dengan usaha serta sumber kewangan kami sendiri... jadi, kenapa mesti kami (yang) keluar, sepatutnya pemimpin yang lemah itu meletak jawatan, memberi laluan kepada pemimpin yang lebih bagus.

“Kami telah suarakan kepada pimpinan Pusat, sepatutnya benda ini tidak berlaku kepada kami terutama yang sedang berhadapan dengan kempen pilihan raya... ini memberi kesan yang mendalam terutamanya keyakinan akar umbi dan ahli parti di peringkat negeri Sabah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg