Penyertaan semula ahli ke dalam Umno tidak jamin sokongan pengundi
Penyertaan semula ahli ke dalam Umno tidak jamin sokongan pengundi
Penganalisis politik: Pendekatan tidak ‘rawat luka’, lebih tertumpu kepada usaha bawa kembali bekas pemimpin dan ahli sertai parti
Kembalinya bekas ahli Umno yang dipecat, digantung atau menjauhkan diri daripada parti itu termasuk mantan Ketua Pemudanya, Encik Khairy Jamaluddin, menerusi inisiatif Rumah Bangsa yang dipelopori Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak semestinya menjamin sokongan pengundi kepada Umno.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata hal ini kerana pendekatan tersebut dilihat lebih tertumpu kepada usaha membawa kembali bekas pemimpin dan ahli ke dalam parti.
Beliau menjelaskan ia sebaliknya tidak ‘mengubati luka’ atau menyentuh isu utama yang menjadi punca ketidakpuasan hati dalam kalangan sebahagian ahli Umno, khususnya berkaitan kerjasama parti itu dengan musuh tradisinya, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.
Beliau berkata kesan kerjasama yang tidak direstui ahli parti itu memberi impak besar dari sudut dalaman parti, justeru langkah Rumah Bangsa dilihat Umno sebagai usaha meredakan ketegangan serta memulihkan sokongan dalam kalangan ahli dan penyokong.
“Penyertaan Encik Khairy kembali bersama Umno mungkin secara tidak langsung menarik perhatian tokoh lain untuk kembali kepada Umno, khususnya dalam kalangan bekas pemimpin.
“Namun, kesannya terhadap pengundi masih belum dapat ditentukan kerana pendekatan ini lebih tertumpu kepada membawa masuk semula ahli lama dan tidak menyentuh isu pokok yang menyebabkan ketidakpuasan hati ahli, terutama berkaitan kerjasama politik sedia ada,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Dr Muhammad Fathi juga berpandangan masih terlalu awal untuk menilai sejauh mana pendekatan Rumah Bangsa mampu mengembalikan kekuatan Umno sebagai parti dominan, sebagaimana sejarahnya yang pernah memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun.
Tambah beliau yang juga Pensyarah dan Penyelidik di Pusat Polisi Perdana UTM, keberkesanan inisiatif itu hanya dapat dinilai dalam pilihan raya akan datang, khususnya dari segi sokongan undi yang diterima Umno.
Namun, beliau bersetuju penampilan kembali Encik Khairy ke dalam Umno penting dalam situasi menjelang pilihan raya akan datang, untuk membantu Umno memperkukuh parti serta mengembalikan keyakinan rakyat, khususnya orang Melayu dan golongan muda terhadap Umno.
Encik Khairy yang juga mantan menteri dan turut dikenali sebagai KJ dipecat daripada Umno pada 2023 selepas perselisihan antara beliau dan Datuk Ahmad Zahid memuncak usai Pilihan Raya Umum Ke-15, pada 2022.
Bagaimanapun, pada 15 Mac lalu, Encik Khairy menyahut seruan Datuk Ahmad Zahid buat mana-mana ahli yang dipecat, digantung atau meninggalkan parti, untuk kembali ke dalam parti, dengan menghantar surat rayuan memohon kembali kepada Umno.
Pada Perhimpunan Agung Umno 2025 Januari lalu, Datuk Ahmad Zahid mengumumkan inisiatif Rumah Bangsa, untuk membuka pintu Umno seluas-luasnya kepada semua bekas ahli atau mana-mana individu dan kumpulan yang mahu kembali ke pangkuan perjuangan Umno.
Selain Encik Khairy, beberapa pemimpin lain yang tidak bersetuju dengan Datuk Ahmad Zahid dalam beberapa perkara turut dipecat, antaranya mantan Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar; sementara mantan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein digantung keahlian selama enam tahun sejak 2023.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan, melihat perkembangan tersebut daripada sudut lebih positif.
Menurutnya, kemasukan semula Encik Khairy dan pemimpin lain ke dalam Umno berpotensi memberi impak penting kepada parti itu, termasuk meningkatkan sokongan dalam kalangan pengundi.
Beliau berkata kehadiran tokoh seperti Encik Khairy yang popular, khususnya dalam kalangan pengundi muda, boleh membuka ruang kepada pengundi agar kembali meletakkan kepercayaan terhadap Umno.
“Tokoh penting seperti KJ mungkin akan diberikan peranan yang bersesuaian kerana imej yang dibentuk oleh beliau sewaktu tidak menjadi ahli parti dan adalah satu risiko besar jika Umno tidak meletakkan kedudukan KJ sebaik mungkin,” katanya kepada BH.
Menurut beliau, perkembangan itu juga berkemungkinan mendorong lebih ramai bekas pemimpin dan ahli parti yang sebelum ini menjauhkan diri untuk kembali ke pangkuan Umno dalam masa terdekat.
Beliau turut melihat perkembangan tersebut sebagai petanda kepimpinan Umno, terutama Datuk Ahmad Zahid kini, lebih terbuka kepada pendekatan politik yang bersifat terangkum, termasuk memberi ruang kepada mereka yang pernah digantung atau dipecat untuk kembali menyumbang kepada parti.
“Ini boleh dilihat sebagai permulaan ke arah politik kemajmukan yang lebih luas dalam Umno,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan perkembangan itu juga hadir dengan cabaran tersendiri, khususnya dalam mengurus perbezaan pandangan dalam parti.
Menurutnya, dalam jangka panjang, sikap tolak ansur dan kesediaan bertolak ansur perlu dipupuk bagi memastikan sebarang krisis dalaman dapat diselesaikan dengan baik.

