Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjuangkan kepelbagaian, calon Muda yakin rebut kerusi Bukit Antarabangsa di Selangor

Jul 27, 2023 | 2:54 PM
SIAP BERTANDING: Calon parti Muda, Cik Melanie Ting, bakal bertanding dalam pilihan raya negeri di Selangor.
SIAP BERTANDING: Calon parti Muda, Cik Melanie Ting, bakal bertanding dalam pilihan raya negeri di Selangor. - Foto MALAY MAIL

KUALA LUMPUR: Cik Melanie Ting, seorang lulusan undang-undang berusia 23 tahun dari Shah Alam yang pengalaman profesionalnya hanyalah sebagai ketua kakitangan Pasukan Penerangan Pusat Perikatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda) sejak tujuh bulan lalu.

Menariknya, usianya dan kekurangan pengalaman beliau menjadikannya lebih menonjol dalam politik.

Apakan tidak, usia Cik Ting kurang separuh daripada umur purata Ahli Parlimen yang dipilih pada pilihan raya umum ke-14.

Dalam penggal ke-14, wanita hanya membentuk satu perlima daripada wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Hal itu bagaimanapun bukan satu hambatan buat Cik Ting. Pada 12 Ogos nanti, beliau akan berusaha menawan kerusi DUN bagi kawasan undi Bukit Antarabangsa di negeri itu.

DUN Bukit Antarabangsa adalah satu daripada dua kerusi dalam kawasan parlimen Ampang, yang dijangka menjadi salah satu ‘kerusi panas’ dalam PRN Selangor. Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menguasai kerusi itu selama tiga penggal sejak 2008.

Ini adalah fakta sukar yang Cik Ting dan pasukannya tahu dengan jelas.

Namun begitu, calon politik ini percaya beberapa perkara yang dilihat lawannya sebagai kelemahan boleh menjadi kekuatannya. Cik Ting berkata usia mudanya boleh memberikan pandangan baharu tentang politik bagi pengundi yang sudah bosan dengan keadaan yang kekal tidak berubah sejak beberapa lama.

“Apabila saya memutuskan untuk bertanding di Bukit Antarabangsa, saya tidak melihatnya sebagai kerusi panas,” kata Cik Ting kepada akhbar dalam talian Malaysia, Malay Mail, dalam satu temu bual baru-baru ini.

“Saya melihat latar belakang, kumpulan umur dan saya dapati ada kepelbagaian. Saya rasa (mungkin) ada calon yang lebih muda untuk bertanding di sini, dan saya rasa saya mewakili personaliti berbeza yang mereka mahukan.”

Ketika diwakili menteri besar Selangor ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, PKR memenangi Bukit Antarabangsa pada pilihan raya umum ke-14 dengan lebih 25,000 undi majoriti, kemenangan besar yang menyokong parti itu dan pengaruh Pakatan Harapan yang semakin meningkat dalam kalangan pengundi bandar di Selangor.

Datuk Azmin telah pun meninggalkan PKR dan kini menganggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bernaung di bawah gagasan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan beberapa parti lain.

Pada pilihan raya umum ke-15, Datuk Azmin gagal mempertahankan kerusi parlimen Gombaknya, yang bersempadan dengan Bukit Antarabangsa, tetapi beliau masih memperoleh jumlah undi yang agak besar, tewas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan 12,000 undi.

Namun begitu, Cik Ting tidak akan berdepan dengannya pada 12 Ogos ini, setelah PN mengesahkan Datuk Azmin sebaliknya akan bertanding di kerusi Hulu Kelang, juga di Selangor.

Walaupun Datuk Azmin terkeluar, Cik Ting masih akan berdepan cabaran sengit kerana berada dalam parti yang tidak mempunyai poket yang mendalam untuk berdepan lawan seperti PKR.

Namun, Cik Ting optimis bahawa pengundi Bukit Antarabangsa akan menerima sesiapa sahaja jika orang itu ikhlas berkhidmat kepada masyarakat, walaupun beliau bukan dari sekitar sana, isu yang kemungkinan besar akan timbul oleh pihak lawan semasa kempen dua minggu bermula 29 Julai.

“Saya faham itu [kritikan] tetapi kami telah turun padang selama beberapa minggu sekarang dan saya semakin mengetahui isu-isu itu, kemudian [ahli] pasukan saya dari sekitar sini,” katanya.

“Tidak kira dari mana saya datang, begitu ramai ahli politik datang dari tempat yang berbeza tetapi telah mewakili kerusi yang bukan tempat asal mereka. Jadi saya rasa ini bukan sama ada saya dibesarkan di sini, tetapi saya mahu berkhidmat di Bukit Antarabangsa.”

Cik Ting belajar jurusan undang-undang di Universiti HELP tetapi masih belum berlatih. Seperti kebanyakan generasinya, beliau tidak mengambil berat tentang politik sehingga wabak Covid-19 melanda dan hampir seluruh dunia terkurung.

Menyaksi penderitaan yang menyusul, Cik Ting berkata ia membuatkan beliau lebih mengambil berat tentang persekitarannya dan mula menumpukan lebih banyak masa untuk menjadi sukarelawan seperti kerja komuniti dan penganjuran.

Beliau akhirnya menyertai Muda pada 2021, kerana beliau tertarik dengan tenaga ahlinya yang kebanyakannya masih muda tetapi sudah aktif berkhidmat kepada masyarakat terpinggir dan miskin.

“Saya belajar undang-undang, dan apabila saya terjumpa undang-undang perlembagaan minat saya dalam politik memuncak. Dan kemudian PKP bermula, banjir [2021] berlaku,” katanya merujuk kepada perintah kawalan pergerakan Covid-19 yang dipanggil perintah kawalan pergerakan oleh kerajaan.

“Kemudian Muda dibentuk, jadi bagi saya sangat menarik. Sebuah parti politik muda yang sangat lantang dan saya rasa personaliti saya sesuai dengan Muda dan di situlah saya menyalurkan diri saya.”

Cik Ting berkata beliau percaya pengalaman dua tahun yang diperolehnya daripada kesukarelawanan dan penganjuran cukup untuk mempersiapkan dirinya dengan tugas negeri tetapi lawannya mungkin akan berfikir sebaliknya.

Berkhidmat di kawasan DUN bukanlah sesuatu yang mudah dan Cik Ting perlu menghadapi masalah yang jauh lebih kompleks dalam menjalankan tugasnya sekiranya pengundi Bukit Antarabangsa memilihnya untuk memegang jawatan. Namun, beliau optimis.

“Saya faham kesusahan yang bakal dihadapi, tetapi sebagai seorang anak muda yang sanggup belajar, bercakap dan mendengar orang ramai di lapangan, saya bersedia untuk menghadapi kesusahan dan berkhidmat kepada pengundi di sini,” kata Cik Ting.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg