PETALING JAYA: Kumpulan penyokong pendidikan kini menggesa agar kanak-kanak Malaysia menghadiri sekolah rendah secara rasmi, sama ada di sekolah awam atau swasta.
Ini berikutan kebimbangan yang bangkit berhubung serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram di Johor pada 17 Mei oleh seorang lelaki yang dikatakan tidak menerima pendidikan rasmi di sekolah.
Adalah dipercayai, pendidikan rasmi boleh mengelakkan pendedahan golongan muda kepada kandungan yang tidak sesuai.
Para pakar turut menekankan bahawa kanak-kanak yang melalui sistem persekolahan di rumah harus mendaftar dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sejak pendidikan sekolah rendah diwajibkan.
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Encik Mak Chee Kin, berkata PPD sudah mengawasi sukatan pelajaran sekolah di rumah bagi menjamin kanak-kanak mendapat pengajian asas yang kukuh dan tidak terdedah kepada kandungan bermasalah, lapor akhbar The Star.
Beliau menekankan perlunya kaedah pendaftaran menyeluruh dan berkata PPD boleh memantau kemajuan pelajar di rumah.
“Jika ibu bapa tidak mendaftar dengan PPD, maka perlu untuk PPD memantau semua pendaftaran.
“Harus ada sistem untuk memantau bagi memastikan semua kanak-kanak menerima pendidikan formal kerana ia sudah diwajibkan oleh undang-undang,” kata Encik Mak ketika dihubungi.
Sementara itu, Cik Noor Azimah Abdul Rahim, yang mengetuai Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page), turut menyuarakan pandangan yang sama, dengan mengatakan bahawa sistem sedemikian harus dikuatkuasakan dengan tegas.
“Ruang harus diadakan bagi ibu bapa untuk memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan sama ada mereka memilih untuk mendidik anak mereka di rumah. Penalti juga harus dikenakan jika ibu bapa gagal berbuat demikian,” kata beliau.
Seperti yang dikehendaki oleh Kementerian Pendidikan, ibu bapa di Malaysia perlu mendaftarkan anak-anak mereka yang berusia enam tahun untuk pengajian di sekolah rendah dari tahun satu hingga tahun enam.
Persekolahan di rumah memerlukan kelulusan kementerian, pematuhan kepada kurikulum kebangsaan, dan pemeriksaan tetap oleh pihak berkuasa pendidikan.
Kegagalan memberi pendidikan sekolah rendah kepada kanak-kanak boleh membawa denda sehingga RM$5,000 ($1,435) atau penjara enam bulan.
Penyerang dari Kampung Sungai Tiram itu berasal dari sebuah penempatan terpencil.
Seorang penduduk mendakwa penyerang dan tiga adik-beradiknya tidak menerima pendidikan di sekolah rasmi dan dididik oleh bapa mereka, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Penyerang itu ditembak mati dalam serangan yang meragut nyawa dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi. Lima anggota keluarganya ditahan untuk disoal siasat.
Encik Mak daripada Magpie, bagaimanapun, akur bahawa pemantauan rapi terhadap pendidikan anak-anak mungkin mencabar kerana keluarga sering berpindah dari tempat kelahiran mereka.
“Ia masih menjadi tanggungjawab ibu bapa. Jika ibu bapa bertanggungjawab, mereka akan mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah rendah atau untuk persekolahan di rumah,” kata beliau.
Walau bagaimanapun, Cik Azimah berkata agensi seperti jabatan kebajikan dan pendidikan boleh memainkan peranan bagi memastikan setiap kanak-kanak dalam rekod mereka didaftarkan sama ada di institusi rasmi atau telah memohon untuk dididik di rumah.
“Sebaik sahaja jabatan pendidikan negeri mempunyai rekod, PPD perlu dipertanggungjawabkan bagi memastikan standard dipenuhi. Malah, pihak kementerian boleh mengenakan keperluan mendapatkan kelulusan rasmi bagi meneruskan persekolahan di rumah oleh ibu bapa,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg