PASIR GUDANG: Tujuh individu sedang ditahan reman tujuh hari berhubung serangan ke atas balai polis di Ulu Tiram pada 17 Mei.
Perintah reman tujuh hari dibenarkan oleh Majistret Johor Bahru, Hidayatul Syuhada Samsudin, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini mulai 18 Mei.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Jenayah, lapor Berita Harian Malaysia.
Tujuh individu terbabit termasuk lima anggota keluarga suspek dalam lingkungan usia antara 19 tahun dengan 62 tahun.
Turut direman ialah dua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IHL) yang berada di balai polis semasa kejadian. Mereka dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.
Kesemua suspek diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang terdiri daripada Encik Muhammad Zahier Rosli, Encik Bustaman Menon Abdul Hamid Menon dan Encik Sulaiman Zamani.
Beberapa laporan pada 18 Mei menyatakan antara yang ditahan reman ialah wanita warga Singapura berusia 65 tahun.
Namun, Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, telah menyangkal laporan tersebut.
“Semua yang ditahan adalah rakyat Malaysia,” kata beliau apabila dihubungi akhbar Malaysia, New Straits Times.
Difahami, perintah reman dikeluarkan di ibu pejabat polis daerah, di mana semua tujuh suspek ditahan dan bukan di Mahkamah Majistret Johor Baru atas sebab keselamatan.
Dalam pada itu, kawalan keselamatan di balai polis serata Malaysia telah dipertingkat, termasuk menggunakan lampu lebih terang untuk membolehkan pemantauan sekitaran lebih berkesan.
“Langkah keselamatan di balai polis memang sentiasa dilaksana dan ada kawalan keselamatan yang diperuntuk... mulai sekarang, kami akan memperketat dan menyelaras proses pemeriksaan untuk sesiapa yang memasuki balai, terutama pada waktu malam,” kata ketua polis Selangor, Datuk Hussein Omar, bercakap dengan Bernama pada 18 Mei.
Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi pada 17 Mei, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis berusia 22 tahun dan 24 tahun serta suspek yang berusia 21 tahun.
Seorang lagi pegawai polis cedera ditembak dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail.
Beliau dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun maut dalam kejadian tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg